KUALA LUMPUR – MCA perlu membuat keputusan sama ada mahu kekal atau keluar daripada Barisan Nasional (BN) susulan hubungan semakin rapat antara UMNO dan DAP, kata bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Beliau menyifatkan BN kini ibarat ‘cangkerang kosong’ yang menunggu untuk dipecahkan’ apabila UMNO dan DAP dilihat semakin mesra dalam pelbagai acara politik.
Menurut Lian Ker, perkembangan itu menjadi satu tamparan hebat kepada MCA dan mencetuskan kekecewaan akar umbi parti yang sudah lama menjadi sekutu utama UMNO dalam BN.
“UMNO dan DAP memperlihatkan keyakinan dan keangkuhan bahawa mereka boleh memenangi pilihan raya umum akan datang dengan atau tanpa MCA atau MIC.
“Ia juga memberi isyarat bahawa DAP akan menggantikan MCA dan MIC, manakala BN kini hanyalah cangkerang kosong yang menunggu untuk dipecahkan. Ini adalah pendirian UMDAP!” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Lian Ker berkata, kini giliran MCA untuk menafikan tanggapan tersebut atau terus berdiam diri sehingga kehilangan maruah politik mereka.
Membuat perbandingan dengan permainan kad beliau berkata, setiap langkah UMNO dan DAP dilihat seolah-olah melakukan provokasi parti komponen BN lain.
“Setiap jabat tangan, setiap senyuman, setiap kilatan kamera di Ibu Pejabat UMNO, diikuti siaran media sosial pemimpin DAP, ibarat ejekan kepada MCA dan MIC dengan mesej ‘terpulang kepada anda MCA...’,” ujarnya.
Bekas senator itu turut menyindir DAP dengan mendakwa parti itu mahu ‘berkahwin’ dengan UMNO selepas lebih 60 tahun mencemburui kedudukan MCA dan MIC dalam gabungan tersebut.
Kenyataan Ti dilihat sebagai gesaan terbaharu daripada pemimpin BN supaya MCA dan MIC mempertimbangkan untuk meninggalkan UMNO.
Sebelum ini, beberapa pemimpin MCA turut menyuarakan rasa tidak senang terhadap hubungan akrab UMNO-DAP yang dilihat bercanggah dengan pendirian politik lama parti itu.
Isu ini semakin hangat apabila MIC Kedah baru-baru ini meluluskan resolusi untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menolak kemungkinan meninggalkan BN.
Bagaimanapun, MIC Kedah memaklumkan keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti.
Hubungan mesra UMNO dan DAP mula menjadi perhatian selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada akhir 2022 yang menyaksikan kedua-dua parti sebelum ini bermusuhan kini bergabung dalam pentadbiran negara.