KUALA SELANGOR – Rundingan kerjasama dan agihan kerusi dalam gabungan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berada pada peringkat hampir selesai.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan kerusi bagi ketiga-tiga parti kerajaan Persekutuan dan negeri itu bakal dimuktamadkan sama ada sebelum atau pada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Peringkat BN-PH hampir selesai dan saya diberitahu untuk GRS juga akan selesai. Bila ia akan dimuktamadkan nanti tunggulah (DUN Sabah) dibubarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS ‘EHSAN Dairy Farm’ di Ladang Sungai Tengi di sini pada Ahad.
Media pada Jun lalu melaporkan rundingan kerjasama antara BN dan PH bagi menghadapi PRN Sabah sudah memasuki fasa akhir.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia melibatkan seluruh komponen dalam gabungan itu termasuk dengan rakan strategik di Sabah.