PRU16: PKR Ampang serah pucuk pimpinan tentukan kedudukan Tengku Zafrul

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk memutuskan sama ada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan dicalonkan di kerusi Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Cabang PKR Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, pihaknya menghormati proses pemilihan calon yang telus dan adil, sekali gus tidak membuat keputusan awal berhubung spekulasi tersebut.

“Fokus kami adalah memperkukuh gerak kerja akar umbi, membela kebajikan rakyat dan memastikan agenda reformasi dibawa Perdana Menteri dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Altimet, PKR sebagai parti progresif tidak mengikat pencalonan kepada alamat, lokasi cabang atau jawatan dalam parti seperti syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas lanjut, Syed Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya menegaskan PKR Ampang sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang untuk menyertai parti.

“Cabang Ampang percaya kekuatan parti terletak pada kepelbagaian idea, tenaga dan komitmen ahli di bawah kepimpinan berteraskan prinsip,” ujarnya.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini mengesahkan penyertaannya sebagai ahli PKR Ampang selepas keluar UMNO pada Mei lalu.

Spekulasi mula tercetus bahawa beliau bakal menjadi calon Ampang selepas berita penyertaannya, termasuk kemungkinan kerusi itu dikosongkan lebih awal melalui pilihan raya kecil (PRK) memandangkan tempoh penggal tetapnya sebagai Senator akan tamat hujung tahun ini.

Ketika ini, kerusi Parlimen Ampang disandang Rodziah Ismail yang sebelum ini dilaporkan mungkin digugurkan atau dipindahkan ke kawasan lain.