Pemuda MCA persoal projek Aerotrain kerap bermasalah walaupun nilai naik taraf RM456 juta

SHAH ALAM - Pemuda MCA kesal dengan kekerapan gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meskipun projek naik taraf dan penyelenggaraannya bernilai RM456 juta.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, kekerapan gangguan perkhidmatan tren itu sejak ia kembali beroperasi 1 Julai lepas menimbulkan persoalan tentang kualiti dan kebolehpercayaan projek naik taraf itu.

"Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan Aerotrain telah kembali beroperasi, namun tidak lama kemudian gangguan perkhidmatan mula berlaku akibat tindakan seorang penumpang menghalang pintu platform.

"Pada 4 Julai, Aerotrain mengalami gangguan sekali lagi dan Anthony mendakwa sistem tren tidak bermasalah. Sebaliknya beliau memberi alasan ia berpunca daripada kerosakan teknikal pada salah satu pam saliran dalam infrastruktur terowong sedia ada di KLIA," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Malaysia Airports menerusi hantaran di akaun X @KLIA_my memaklumkan perkhidmatan aerotrain sekali lagi mengalami gangguan pada jam 10.30 pagi apabila pintu tidak berfungsi disebabkan masalah teknikal.

Menurutnya, gangguan perkhidmatan Aerotrain berulang kembali dengan kejadian terbaharu pada 4 Ogos selepas insiden pada 4 dan 12 Julai lepas.

"Adakah MOT akan terus memberi alasan pam saliran sebagai punca utama setiap kali gangguan berlaku?" menurutnya.

Justeru, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat punca utama gangguan berulang perkhidmatan Aerotrain di KLIA sejak ia kembali beroperasi pada awal bulan lepas.

Menurutnya, jawatankuasa itu penting bagi menentukan sama ada kerosakan berpunca daripada kelemahan dalam kerja-kerja pembaikan atau kegagalan pihak kontraktor.

"Sebanyak RM456 juta dibelanjakan untuk menaik taraf dan menyelenggara Aerotrain melibatkan wang rakyat dan kepentingan awam.

"Justeru, MOT dan pihak berkuasa berkaitan perlu mengemukakan laporan jelas dan telus serta melaksanakan langkah pembetulan segera bagi mengelakkan kejadian berulang," ujarnya.

Yee Fung berkata, KLIA merupakan pintu masuk utama bagi pelawat antarabangsa dengan masalah berterusan Aerotrain dikhuatiri bukan sahaja menyusahkan penumpang, bahkan mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau menegaskan, MOT perlu ada penjelasan sama ada masalah berulang terbabit berpunca daripada kelemahan sistem, komponen rosak atau kesilapan manusia.

"Apa pun puncanya, MOT mesti bertindak segera untuk mengenal pasti dan memahami punca utama gangguan perkhidmatan itu.

"Perkara ini penting bagi menangani masalah terbabit secara berkesan serta memastikan keselamatan penumpang dan keyakinan awam terhadap Aerotrain," tambahnya lagi.