IPOH - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak menafikan dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M Thulsi bersetuju menyertai satu perdebatan terbuka bersama Ketua Pemuda MIC Perak seperti yang tular di media sosial.
Menerusi satu kenyataan media pada Isnin, DAPSY menyifatkan hantaran tersebut sebagai berita palsu yang direka bagi merosakkan kredibiliti wakil rakyat itu selain bertujuan mengelirukan orang ramai.
"Dakwaan ini adalah palsu sepenuhnya. Yang Berhormat (YB) Thulsi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau persetujuan untuk menyertai debat tersebut. Ini adalah satu bentuk provokasi politik," tegas kenyataan itu.
Menurut DAPSY, kandungan hantaran yang tersebar tersebut tidak membawa sebarang manfaat atau nilai tambahan kerana ia hanya digunakan sebagai helah untuk memberi publisiti kepada pihak tertentu.
DAPSY turut mempertikaikan kewajaran perdebatan itu diadakan dengan menyatakan bahawa MIC sendiri tidak menunjukkan rekod prestasi yang meyakinkan sepanjang lebih enam dekad bersama kerajaan.
“Jika rekod MIC benar-benar kukuh, realiti kehidupan masyarakat India hari ini sudah tentu menceritakan kisah yang sangat berbeza. Hakikatnya, MIC telah gagal dalam memperjuangkan hak masyarakat India," katanya.
Sayap parti DAP itu turut menegaskan bahawa pengundi sendiri telah menolak MIC secara besar-besaran dalam pilihan raya umum lalu, dan cubaan mencipta isu debat ini hanya merupakan usaha terdesak untuk kekal relevan dalam landskap politik semasa.
Justeru, DAPSY menasihatkan MIC supaya menumpukan usaha kepada kerja-kerja membela nasib rakyat, melibatkan diri dalam usaha yang ikhlas dan membina, bukannya terlibat dalam sandiwara dalam talian dan serangan peribadi.
"YB Thulsi kekal komited dengan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di Buntong dan sentiasa bekerja keras demi kepentingan semua pengundi termasuk masyarakat India," kata kenyataan tersebut.