Komponen BN diminta 'bertenang', elak kenyataan jejas gabungan - Tok Mat

SEREMBAN - Semua parti komponen Barisan Nasional(BN) diharap tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian gabungan itu yang telah dibentuk sekian lama.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak sepatutnya komponen utama BN terutama UMNO, MCA dan MIC yang telah menjalinkan hubungan sejak puluhan tahun menyatakan ketidakpuasan hati antara satu sama lain secara terbuka.

Menurutnya, sekiranya ada salah faham ia perlulah diselesaikan dengan baik supaya keluarga BN terus kukuh.

"Dalam apa jua bentuk gabungan, baik suami isteri pun kadang-kadang ada pertelingkahan.

"Jadi kita tidak mahu pertelingkahan kecil ini akan menyebabkan persahabatan kita yang telah pun berpuluh tahun sejak ditubuhkan itu terjejas," katanya ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, yang mendakwa dirinya dan MIC seolah-olah ditipu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjanjikan jawatan Kabinet sekiranya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Tapah itu turut menyuarakan kekecewaan kerana MIC didakwa tidak diberi sebarang peranan dalam kerajaan serta memberi bayangan tidak perlu meneruskan kerjasama jika tidak diperlukan.

Kenyataan dibuat Saravanan itu kemudian dibalas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang seterusnya menjadi perbalahan antara dua ahli politik itu di media sosial.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tidak ada gunanya parti-parti komponen saling menyalahkan antara satu sama lain kerana tindakan sedemikian hanya akan menggagalkan usaha memperkukuhkan semula BN.

Katanya, semua pihak dinasihatkan untuk bertenang dan melupakan isu tuduh menuduh antara satu sama lain.

"Yang pentingnya BN nak bangkit semula. Kalau nak bangkit, nak menang kita buat cara nak menang bukannya cara melemahkan.

"Elok kita tumpukan cara memperkasakan parti daripada kita mendedahkan kelemahan dalaman parti kita, bukannya dengan cara bertelagah tapi cara muafakat baik-baik," katanya.