PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menuntut kerajaan tampil menjelaskan sama ada wujud dasar negara yang telah dijadikan konsesi atau dikorbankan dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan penurunan tarif ke atas Malaysia.
Beliau berkata, walaupun Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kadar tarif ke atas Malaysia diturunkan kepada 19 peratus awal pagi Khamis, rakyat berhak mengetahui apakah harga sebenar yang dibayar untuk mencapai hasil rundingan tersebut.
“Pada awalnya, AS mengumumkan tarif sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia.
“Rundingan yang dibuat kemudiannya menyebabkan kadar itu dinaikkan kepada 25 peratus pada 8 Julai.
“Rundingan lanjut selepas itu menyaksikan kadar tersebut diturunkan sebanyak enam peratus, daripada 25 kepada 19 peratus.
“Soalnya, apakah dasar-dasar kerajaan yang telah dikorbankan untuk mendapatkan penurunan ini?” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Radzi turut merujuk laporan The Straits Times yang mendakwa Malaysia bersetuju mengiktiraf pensijilan halal dari AS dan membekalkan unsur nadir bumi (REE) kepada negara itu sebagai sebahagian daripada konsesi rundingan.
“Setakat ini, kerajaan belum menafikan laporan tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mempersoalkan sama ada kerajaan telah melanggar garis sempadan rundingan yang pernah ditetapkan sebelum ini berhubung pensijilan halal.
“Kerajaan sebelum ini meletakkan isu pensijilan halal sebagai garis sempadan yang tidak boleh dikompromi. Maka, adakah sempadan ini telah dilanggar?
“Jika ya, apakah protokol pensijilan halal berbeza akan digunakan untuk AS berbanding negara lain? Apakah kesan tindakan ini terhadap kredibiliti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global?” soalnya.
Radzi turut membangkitkan persoalan mengenai perjanjian eksport REE ke AS, termasuk jumlah sebenar hasil yang perlu dihantar ke negara tersebut dan sejauh mana kerajaan negeri dilibatkan dalam keputusan yang dibuat, memandangkan bidang kuasa mineral terletak di bawah kerajaan negeri.
Beliau turut menuntut penjelasan sama ada terdapat dasar-dasar lain yang turut dijadikan konsesi selain yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.
“Justeru, amat penting untuk kerajaan memberikan penjelasan segera tentang perkara-perkara yang telah dijadikan konsesi dalam rundingan dengan Amerika Syarikat,” tegasnya.