KUANTAN – Pas Pahang menjunjung kasih atas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar wakil rakyat tidak berpolitik sepanjang masa.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, Pas Pahang sentiasa memantau gerak kerja semua wakil rakyatnya agar turun padang untuk menjenguk rakyat, mengetahui keadaan sebenar serta menangani isu-isu rakyat dengan sebaik mungkin.
Menurutnya, setakat ini semua wakil rakyat Pas memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dan pihak kerajaan.
"Sebagai wakil rakyat pembangkang, Pas Pahang juga berperanan sebagai ejen semak dan imbang.
"Ini dapat dilihat apabila setiap kali Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas akan mengambil bahagian mengutarakan isu-isu rakyat.
"Bagaimanapun, ada kalanya soalan kami menimbulkan ketegangan dan disalahertikan oleh pihak kerajaan apabila ia dikatakan sebagai 'sentiasa berpolitik'," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Rosli berkata, pihaknya menjunjung kasih dan menyambut baik saranan Al-Sultan Abdullah untuk bersedia duduk semeja dengan pihak kerajaan.
"Bagi kami di Pas Pahang, saranan itu sangat baik dan kami sentiasa bersedia untuk duduk semeja dengan kerajaan bagi membincangkan penyelesaian isu-isu rakyat dan memajukan negeri Pahang yang tercinta ini.
"Kami juga mengucapkan terima kasih kerana Tuanku telah membangkitkan sekali lagi berkenaan peruntukan, kerana ia sememangnya sangat penting bagi kami melaksanakan tugasan dengan lebih selesa," ujarnya.
Rosli, yang juga ADUN Tanjung Lumpur berharap agar perkara itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada pihak kerajaan.
"Pada masa sama, kedudukan kami sebagai pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat juga tidak dipolitikkan," katanya.
Jelas beliau lagi, Pas Pahang menjunjung kasih atas titah yang dilihat sebagai tanda kecintaan Baginda terhadap negeri Pahang.
"Hasrat Tuanku sangat besar agar perjalanan pentadbiran negeri Pahang berjalan dengan baik, dan hubungan antara kerajaan serta pembangkang dapat terjalin secara harmoni dan adil," katanya.
Al-Sultan Abdullah sebelum ini menitahkan agar wakil rakyat di negeri Pahang tidak terlalu sibuk dengan urusan politik sepanjang masa, sebaliknya perlu lebih rajin ‘turun padang’ untuk menjenguk rakyat di kawasan masing-masing.
Baginda, yang terkenal dengan sikap prihatin dan mesra rakyat, bertitah bahawa sebagai ‘Ahli Yang Berhormat’, mereka perlu sentiasa hadir di kawasan masing-masing secara berterusan untuk mendengar keluh kesah serta memahami keperluan masyarakat, khususnya yang berdepan dengan kesempitan hidup.