Shahaniza fail saman terhadap Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran

KUANTAN - Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin memfailkan tindakan saman fitnah ke atas Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi.

Shahaniza berkata, tindakan undang-undang itu diambil susulan siri kenyataan tidak benar dan berniat jahat yang telah diterbitkan di media sosial termasuk TikTok dan Facebook bertarikh pada 3 dan 29 Julai lalu.

Menurutnya, saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh.

"Tuduhan beliau bahawa saya 'melakonkan projek air', melanggar peraturan Kementerian Pendidikan (KPM), berkempen politik dalam sekolah dan menyogok pelajar dengan makanan segera tidak berasas, fitnah dan berniat menjatuhkan maruah serta kredibiliti saya secara terbuka.

"Saya ingin tegaskan bahawa lawatan ke tapak projek bekalan air adalah sebahagian daripada peranan menyampaikan maklumat projek rakyat oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan bukan sandiwara.

"Kehadiran saya ke sekolah adalah atas kapasiti sah sebagai Pengerusi Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (KPIBKS) Maran dan bukan untuk tujuan politik," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua Penerangan UMNO Pahang menegaskan, tiada sebarang unsur sogokan atau kempen politik dilakukan dalam program tersebut.

"Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan bukan sahaja mengandungi tuduhan palsu terhadap saya sebagai pemimpin masyarakat, malah turut mencemar imej saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Maran, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia dan Ketua Penerangan UMNO Pahang," katanya.

Justeru itu, Shahaniza telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang penuh terhadap pihak tersebut termasuk memohon injunksi, permohonan maaf secara rasmi dan pampasan sewajarnya.

Beliau berkata, kes itu telah ditetapkan untuk pengurusan di Mahkamah Tinggi Temerloh 28 Ogos depan.

"Tindakan ini bukan semata-mata untuk mempertahankan nama saya, tetapi sebagai peringatan penting agar politik kebencian dan fitnah tidak menjadi budaya dalam wacana awam.

"Apatah lagi melibatkan tokoh muda yang sepatutnya menjadi agen perubahan matang dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau percaya kepada proses perundangan dan menyerahkan kepada Mahkamah untuk menilai secara adil.