Perhimpunan 'Turun Anwar' bukti ruang demokrasi terus subur – Sivamalar

 

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan penganjuran perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung secara aman semalam sebagai bukti ruang demokrasi di bawah Kerajaan MADANI terus subur dan dijunjung tinggi.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Sivamalar Genapathy berkata, meskipun perhimpunan itu tidak mendapat sambutan besar daripada rakyat, ia tetap menjadi detik penting dalam landskap demokrasi negara kerana berlangsung tanpa sebarang kekecohan atau tindakan keras pihak berkuasa.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menjunjung tinggi semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip asas demokrasi dengan membenarkan perhimpunan tersebut berlangsung secara aman tanpa gangguan.

“Walaupun mesej utama perhimpunan adalah mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan, tiada halangan, tiada kekerasan dan tiada tangkapan dibuat.

"Malah, polis serta agensi penguat kuasa memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, ia membuktikan Kerajaan Madani bukan sahaja bersedia menerima kritikan, tetapi turut melindungi hak rakyat untuk menyuarakan pandangan selagi dilakukan secara tertib dan aman.

Mengulas lanjut, Ahli Majlis Pimpinan Pusat itu berkata, reformasi yang dibawa kerajaan hari ini bukan sekadar melibatkan dasar, tetapi turut meliputi perubahan dalam budaya politik dan pendekatan penguatkuasaan.

“Sebagai seseorang yang pernah berada di barisan pembangkang, saya memahami betapa sukarnya untuk berhimpun secara aman suatu ketika dahulu. Kami dahulu terpaksa membawa garam, air dan tuala kerana menjangka serangan gas pemedih mata dan meriam air.

“Risiko ditangkap ketika atau selepas perhimpunan juga adalah sesuatu yang hampir pasti.

"Namun hari ini, tiada lagi gas pemedih mata, tiada meriam air, dan tiada tangkapan. Ini adalah perubahan yang nyata,” ujarnya.

Sivamalar turut mengingatkan bahawa reformasi yang berkekalan memerlukan masa, iltizam serta kestabilan politik, dan tidak wajar mengharapkan semua kerosakan yang dibina sejak lebih 60 tahun lalu dapat diperbetulkan dalam tempoh dua tahun sahaja.

Jelas beliau, pada 13 Februari lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dalam sidang Parlimen akan datang, khususnya dengan memansuhkan Seksyen 11 yang selama ini menjadi halangan besar kepada penganjur perhimpunan.

“Pemansuhan peruntukan ini akan membuka lebih banyak ruang demokratik untuk rakyat berhimpun secara aman tanpa kekangan birokrasi yang tidak wajar,” katanya lagi.

Tambahnya, lebih banyak pembaharuan sedang dirancang dan akan dilaksanakan demi manfaat rakyat.

Namun, katanya, kejayaan agenda reformasi hanya dapat dicapai dengan kewujudan kerajaan yang stabil bagi merangka dasar jangka panjang, memperkukuh institusi dan menterjemahkan harapan rakyat menjadi kenyataan.

“Kerajaan MADANI komited untuk terus melangkah ke hadapan, bukan demi mempertahankan kuasa, tetapi demi memulihkan negara.

“Marilah kita bersama mempertahankan ruang demokrasi ini dan menjadi sebahagian daripada perubahan yang sedang berlaku,” katanya.