SHAH ALAM - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan seolah-olah wujud nada pertembungan di antara badan kehakiman dan badan eksekutif apabila isu berkaitan institusi itu dibincangkan dalam Kabinet sejak setahun lalu.
Menurut Rafizi, situasi tersebut menggambarkan seolah-olah wujud kecenderungan ke arah pertembungan yang membawa kepada kebimbangan kemungkinan wujud campur tangan cabang eksekutif dalam institusi kehakiman negara.
Jelas Ahli Parlimen Pandan itu, suasana perbincangan dalam Kabinet pada setahun lalu turut dirasakannya hampir serupa dengan senario krisis kehakiman pada tahun 1988, ketika badan kehakiman berdepan tekanan hebat daripada pihak eksekutif.
"Saya masih ingat perasaan dan berfikir, mungkin ini semua (seperti mana) bagaimana ia bermula pada tahun 1988 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi punca kepada kes penggantungan dan akhirnya pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas serta beberapa hakim kanan lain.
"Yang kedua, sebagai seorang wakil rakyat dan pernah jadi menteri, kita juga ada banyak kawan-kawan daripada peguam dan hakim. Dan, kami ada dua, tiga kes besar yang akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini.
"Dan apabila saya sebut kes besar, pembangkang akan kata kes-kes itu melibatkan Perdana Menteri. Hakikatnya, ramai tidak tahu kes-kes sebenar saya maksudkan adalah melibatkan golongan-golongan elit yang Anwar (Perdana Menteri) selalu sebut mahakaya. Golongan ini juga pihak sama terlibat dalam kes VK Lingam.
"Kebimbangan saya adalah kelompok individu sama yang mempunyai kepentingan untuk melihat badan kehakiman diatur dalam satu bentuk yang akhirnya apabila kes-kes besar mereka dibicarakan, mereka akan menang," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada Forum Awam: Integriti Kehakiman dihoskan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) pada Ahad.
Panel-panel terlibat termasuklah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Peguam, Lim Wei Jiet; Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz; Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Gregory Dass dan Presiden Commonwealth Lawyers Association, Steven Thiru.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan dicadangkan tidak meneruskan proses pelantikan seorang calon hakim kanan yang didakwa terpalit kontroversi campur tangan kehakiman sebagai langkah untuk meredakan ketegangan dan mengembalikan kepercayaan terhadap institusi kehakiman.
Rafizi berkata, langkah paling mudah untuk kerajaan menangani kemelut semasa adalah dengan tidak meneruskan pelantikan yang menjadi pertikaian.
Jelas beliau, tindakan itu akan memberi ruang kepada semua pihak untuk menangani isu-isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan proses perundangan secara lebih menyeluruh tanpa menjejaskan keyakinan rakyat.
Rafizi turut memberi peringatan bahawa jika isu ini tidak ditangani segera, ia boleh memberi kesan buruk kepada Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan secara keseluruhan.
Menurut beliau, suara-suara lantang dalam kalangan ahli Parlimen PH yang membangkitkan isu ini bukan untuk sabotaj, sebaliknya hanya ingin memberi amaran awal supaya sesuatu tindakan diambil.
"Beliau (Anwar) hanya perlu melakukan perkara yang betul dan perkara yang betul adalah memastikan jika ada seorang hakim yang telah pun dipersoalkan, kita alihkan dia daripada proses penamaan calon.
"Buat proses terbabit sama ada kamu siasat dahulu, kamu lalui proses itu, sama ada siasat dahulu ataupun buat prosedur dahulu, kamu buat perkara perkara betul dan lain-lain. Saya rasa, orang tidak marah sangatlah," ujarnya.
Rafizi menegaskan bahawa sekiranya tindakan wajar diambil sekarang, masih ada ruang untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap PH dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Bagaimanapun, beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya isu ini dibiarkan berlarutan, ia akan menyebabkan PH kehilangan sokongan asas daripada golongan kelas menengah bandar yang menjadi tulang belakang kemenangan gabungan itu sebelum ini.