Cadang gantung keahlian tak selari prinsip demokrasi parti

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan 19 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor yang mengusulkan sembilan ahli Parlimen digantung keahlian kerana mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kemelut pelantikan badan kehakiman, disifatkan tidak selari dengan prinsip keluhuran amalan demokrasi dalam parti.

Bekas calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Rahman turut menyifatkan tindakan itu menunjukkan kelompok pemimpin akar umbi parti hakikatnya gagal memahami isu besar negara yang sedang diketengahkan sembilan ahli Parlimen berkenaan.

Beliau berkata, desakan ketua cabang terbabit bukan hanya menunjukkan kedangkalan mereka, malah seolah-olah cuba menutup suara-suara individu yang membawa suara rakyat dengan mengemukakan cadangan agar kelompok ini diambil tindakan disiplin.

“Pada bahagian mana (dalam perlembagaan parti) yang menyatakan sembilan ahli Parlimen tersebut telah melanggar disiplin dan etika parti? Sedangkan mereka hakikatnya menyuarakan sesuatu perkara untuk menyelamatkan satu cabang penting daripada tiga cabang iaitu institusi kehakiman.

“Institusi kehakiman merupakan salah satu daripada tiga tiang utama negara. Jadi, adakah negara lebih penting daripada parti?” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Faizal yang juga seorang peguam berpandangan, ketua-ketua cabang terlibat sepatutnya memikirkan tentang isu negara terlebih dahulu.

"Melainkan jika sembilan ahli Parlimen itu mengemukakan usul, tetapi usul itu dibantah oleh semua pihak termasuklah bar council, tetapi dalam isu sekarang bar council juga sokong," ujarnya lagi.