Beri peluang UMNO tanding salah satu kerusi di Parlimen Tambun

IPOH - UMNO wajar diberi peluang oleh rakan parti di dalam kerajaan Perpaduan untuk bertanding salah satu kerusi di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya mereka bertanding sebagai satu pasukan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata, Barisan Nasional (BN) memang tidak memenangi sebarang kerusi sama ada Parlimen Tambun atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta pada PRU lalu.

**media[3200790]**

Menurutnya, namun realiti politik sentiasa berubah dan sebarang agihan kerusi tidak seharusnya hanya berdasarkan keputusan pilihan raya yang lepas semata-mata.

“Secara peribadi saya berfikiran bahawa UMNO perlu diberi ruang di Parlimen Tambun. Kalau ikut atas kertas apa yang berlaku sekarang realiti dalam Parlimen Tambun ini, UMNO tidak ada satu kerusi pun.

"Sebab semua kerusi kita kalah tempat ketiga dan persefahaman kita dengan parti dalam kerajaan Perpaduan, siapa yang nombor dua dia lah yang akan menjadi calon lepas ini.

"Tetapi persefahaman itu tidak boleh diguna pakai untuk semua bahagian ataupun semua DUN," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tambun di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie dan turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Dr Aminuddin Md Hanafiah.

Akmal Zharif berkata, UMNO mempunyai kekuatan jentera yang terbukti sejak sekian lama dan kerusi untuk ditandingi penting bagi menyuntik semangat jentera.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan berbeza perlu diguna pakai dan formula sedia ada tidak boleh diguna pakai secara menyeluruh memandangkan landskap politik di setiap kawasan berbeza.

“Contoh di Tambun, UMNO langsung tiada kerusi. Tapi ada kawasan lain pula yang PKR atau Amanah tidak ada kerusi.

"Jadi perlu ada rundingan yang adil demi memastikan Kerajaan Perpaduan terus kukuh dan berdaya saing,” katanya yang juga Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi.

Terdahulu Mohammad Sollehin dalam ucapan perasmiannya berpandangan bahawa UMNO wajar diberikan salah kerusi untuk ditandingi pada PRU16 oleh Pakatan Harapan (PH) bagi memboleh mereka bersama-sama bekerja bagi memenangkan parti gabungan kerajaan Perpaduan itu.

Dalam pada itu, Akmal Zharif turut menyentuh soal kekuatan Pemuda UMNO Tambun yang semakin pulih selepas mengalami cabaran organisasi kepimpinan.

Menurutnya, jumlah cawangan Pemuda yang pernah merosot kepada 30 sebelum ini telah meningkat semula kepada 40 cawangan dan dijangka terus bertambah.

“Kalau dulu kita ada 60 cawangan, kemudian jatuh selepas 2018. Tapi sejak kebelakangan ini, khususnya tahun ini, jumlahnya semakin meningkat. Ini menunjukkan kebangkitan semula sedang berlaku.

“Tetapi perlu diingat, bilangan cawangan bukan lagi penanda aras kekuatan parti. Kita tidak hanya mahu ramai ahli, tetapi mahu lahirkan lebih ramai ‘orang UMNO’ yang benar-benar faham dan perjuangkan parti,” katanya.

Akmal Zharif turut mengakui bahawa generasi muda kini mempunyai banyak pilihan dengan kewujudan pelbagai parti dalam kerajaan yang turut menawarkan wadah perjuangan untuk belia.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa UMNO akan bangkit semula dengan barisan kepimpinan bahagian yang berkaliber dan komited memperjuangkan agenda rakyat.