Tiada pelanggaran disiplin, cadangan penubuhan RCI demi ketelusan - MP PKR

SHAH ALAM – Cadangan sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut pelantikan badan kehakiman negara bukanlah satu bentuk pelanggaran disiplin dalaman parti.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, sekiranya pucuk kepimpinan PKR merasakan tindakan beliau bersama lapan ahli Parlimen lain ada kaitan dengan isu disiplin, Perlembagaan parti seharusnya menyediakan mekanisme penyelesaian seperti merujuk kepada Lembaga Disiplin Parti.

Menurutnya, tindakan penggantungan pula bergantung kepada syor daripada Lembaga Disiplin tersebut dan perlu dirujuk kepada Biro Politik serta Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

“Bagaimanapun, isu yang kami bangkitkan merangkumi empat perkara yang telah pun diketahui umum dan boleh memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada rakyat serta negara.

“Kami hanya mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh memberikan pencerahan serta cadangan kaedah penyelesaian, dalam batas-batas yang terkandung dalam Perlembagaan PKR termasuk cadangan penubuhan RCI,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Terdahulu, seramai 19 Ketua Cabang PKR di Johor tampil mendesak agar keahlian sembilan ahli Parlimen yang mencadangkan penubuhan RCI berhubung isu pelantikan badan kehakiman digantung serta-merta.

Dalam kenyataan bersama, mereka menyifatkan tindakan sembilan ahli Parlimen itu sebagai melanggar disiplin dan etika parti serta mencemarkan imej kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahir turut menjelaskan bahawa isu-isu lain yang dibangkitkan mereka tidak bertentangan dengan Perlembagaan PKR, memandangkan gesaan agar kemelut pelantikan badan kehakiman dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan saranan agar rakyat diberi ruang menyuarakan pandangan melalui petisyen dalam talian merupakan hak kebebasan bersuara sebagai wakil rakyat.

Justeru, beliau berpandangan bahawa peluang seluas-luasnya perlu diberikan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menjelaskan isu ini dan menutup segala persepsi awam melalui fakta dan maklumat yang sahih.

Dalam masa sama, Zahir memaklumkan bahawa parti masih mempunyai beberapa kes pelanggaran disiplin yang lebih jelas dan wajar diambil tindakan segera.

“Antaranya, satu video yang telah tersebar luas memaparkan seorang Ketua Cabang membuat tuduhan bahawa Presiden parti menerima duit kotor daripada seorang ahli perniagaan,” ujarnya.

Menurut bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu, ramai pihak masih menunggu tindakan sewajarnya terhadap kesalahan disiplin yang jelas itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, bersama lapan lagi ahli Parlimen PKR telah menghantar surat rasmi kepada semua ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI berkaitan pelantikan dalam institusi kehakiman.

Menurut Rafizi, langkah itu bertujuan mengenal pasti pihak yang benar-benar bersetuju atau tidak bersetuju dengan usaha menegakkan integriti institusi kehakiman melalui siasatan yang bebas dan berwibawa.