PEKAN – DAP didakwa gagal mendidik Ahli Parlimen mereka berhubung isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, apa yang lebih mengecewakan ialah kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dibuat sehari selepas kenyataan tegas UMNO mengenai pelaksanaan Titah Adendum.
“Buat sekian kalinya, DAP nampaknya gagal untuk mendidik Ahli Parlimen sendiri berkenaan isu 3R.
“Lip Eng dan DAP mungkin lupa ataupun sengaja buat tidak tahu, perkara berkenaan tahanan rumah DSN (Datuk Seri Najib Tun Razak) ini bukan semata-mata isu teknikal mahkamah.
"Perkara ini adalah berkenaan Titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.
Terdahulu, Lip Eng menyifatkan cadangan agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sebagai tidak munasabah dan wajar ditolak secara tegas.
Beliau dilaporkan berkata, permintaan sedemikian mencabar prinsip keadilan dan menimbulkan persepsi wujudnya layanan istimewa terhadap tokoh politik yang berpengaruh.
Mengulas lanjut, Mohd Fakhrul menegaskan DAP tidak boleh hanya bercakap tentang kesaksamaan undang-undang tanpa mengambil kira kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Kamu bercakap berkenaan kesaksamaan undang-undang untuk semua, tapi dalam masa yang sama kamu lupa negara ini ada tuan dan daulat yang perlu dijaga,” katanya.
Beliau menambah, UMNO dilihat terlalu berusaha menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan sedangkan parti lain, terutama DAP, seolah-olah tidak berminat untuk bersama.
"Parti lain, terutama DAP, nampak sangat tidak berminat untuk bersama.
"Jangan terlalu memijak dan menolak, bimbang nanti kami pula yang menapak untuk bertindak,” katanya.