Veteran UMNO rayu Anwar menghadap Agong untuk laksanakan Titah Adendum

SHAH ALAM – Veteran UMNO Malaysia merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk menyatakan kesediaan kerajaan memohon ampun perkenan Seri Paduka Baginda bagi melaksanakan Titah Adendum.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, hanya Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mampu merealisasikan titah tersebut.

"Veteran UMNO menghormati proses perundangan dan mahkamah. Tapi Titah Adendum itu adalah kuasa Agong seperti peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita faham dalam mesyuarat jawatankuasa pengampunan tidak ada agenda tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak. Sebab Titah Adendum itu diutuskan oleh Agong setelah mesyuarat itu. Tapi ia masih dalam bidang kuasa dan budi bicara Agong yang tidak sewajarnya dipersoalkan dan ditolak perlaksanaannya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Rabu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa pihaknya tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Sebaliknya, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, AGC hanya mempersoalkan prosedur untuk mengemukakan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.