KUANTAN - Pemuda UMNO Pahang berpandangan adalah wajar segala perintah dalam Titah Adendum berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak dilaksanakan segera selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan kewujudan dokumen tersebut.
Ketua Pemudanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata, pengakuan ini sekali gus mengesahkan bahawa titah tersebut benar-benar wujud dan bukan sekadar ‘hear say’.
“Sejak hari pertama lagi, kita konsisten dan lantang memperjuangkan agar Titah Adendum ini tidak dinafikan serta menuntut supaya keadilan terhadap Najib ditegakkan sepenuhnya.
“Perjuangan ini berteraskan prinsip kebenaran dan penghormatan terhadap Institusi Diraja yang menjadi lambang kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Kamil berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menggesa agar keadilan diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu tanpa sebarang lengah.
Jelasnya, pendirian tegas itu selaras dengan usaha menjunjung kedaulatan undang-undang serta menghormati Institusi Diraja.
Mohd Kamil menambah, pihak mahu semua pihak termasuk AGC dan mahkamah.
"Kerajaan juga perlu menjunjung prinsip pengasingan kuasa dan menghormati kuasa, kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kami akan terus istiqamah memperjuangkan keadilan dan menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama mempertahankan prinsip keadilan serta institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tiang seri negara,” katanya.