'Hanya berjiwa besar mampu akui kesilapan, minta maaf' - Akmal Saleh

SHAH ALAM - Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuat permohonan maaf susulan kenyataan kontroversi baru-baru ini disifatkan sebagai satu langkah berjiwa besar.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tidak mudah untuk seseorang itu mengakui kesilapannya dan meminta maaf secara terbuka.

"Terima kasih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Bukan mudah untuk mengakui kesilapan dan meminta maaf. Hanya yang berjiwa besar sahaja mampu melakukannya," katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada Selasa mengakui berlaku kekhilafan dalam kenyataannya yang mengandungi perumpamaan mengenai malaikat seperti yang tular menerusi sebuah video baru-baru ini.

Menurut beliau, kenyataan itu diungkapkan dalam suasana penuh emosi ketika menjelaskan tekanan yang dihadapi sepanjang memegang amanah sebagai Presiden UMNO.