Usul tukar Presiden Bersatu bukan pandangan akar umbi Bersatu Port Dickson

PORT DICKSON - Usul supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Penasihat dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengambil alih jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah pandangan individu, dan tidak mewakili suara keseluruhan bahagian.

Naib Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Mohd Shuhazlan Ali menegaskan, usul tersebut dikemukakan oleh seorang individu dalam cawangan dan tidak mencerminkan kehendak akar umbi.

“Ia dilihat sebagai cubaan mencari publisiti murahan. Kami tetap mempertahankan institusi Presiden daripada sebarang ancaman, sama ada dari luar atau dalam parti.

“Muhyiddin ialah Presiden yang sah dan mendapat mandat penuh daripada akar umbi untuk mentadbir Bersatu hingga tamat penggal. Sokongan kami kepada beliau adalah tidak berbelah bahagi,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Bahagian Bersatu Port Dickson, menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian pada Ahad lalu, sebulat suara meluluskan usul mencadangkan peralihan kepimpinan parti dengan Hamzah sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai Penasihat.

Usul tersebut turut disifatkan sebagai langkah bagi memastikan hala tuju dan kestabilan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mengulas lanjut, Shuhazlan berkata naratif untuk menggantikan Presiden bukanlah perkara baharu dan sering timbul terutama apabila kerajaan gabungan PH-BN dilihat lemah.

“Cuma bezanya kali ini, ia datang daripada sumber dalaman dalam bentuk usul rasmi. Ia menimbulkan tanda tanya mengenai motif sebenar di sebalik tuntutan itu.

“Alasan bahawa Ketua Pembangkang perlu mengetuai parti adalah tidak relevan. Ketua parti mesti berwibawa, memiliki imej baik, dan dapat menarik keyakinan rakyat,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa Muhyiddin sebagai pengasas Bersatu mempunyai rekod cemerlang dalam meraih sokongan rakyat dan berjaya membentuk kerajaan dalam tempoh kurang daripada sedekad.

“Penilaian semasa rakyat masih menunjukkan beliau sebagai pemimpin politik paling diterima berbanding tokoh lain. Kepimpinan parti mesti menonjolkan imej moderat, intelektual dan diyakini rakyat tanpa mengira bangsa,” katanya.

Shuhazlan turut mengingatkan ahli-ahli Bersatu supaya mengambil iktibar daripada kejatuhan UMNO yang menurutnya berlaku kerana terlalu mementingkan kelangsungan individu tertentu sehingga mengabaikan sentimen rakyat.

“Kami curiga motif sebenar di sebalik usul ini, dan bimbang ia digerakkan oleh ejen luar untuk memecah-belahkan parti.

“Kami tetap berpegang teguh untuk mempertahankan institusi Presiden dan menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan dakwaan bahawa keahliannya telah digantung.

“Saya tidak digantung daripada jawatan Naib Ketua Bahagian. Hanya terdapat usul untuk memecat saya.

“Mereka dakwa usul dipersetujui sebulat suara, namun hampir 60 ahli termasuk saya sendiri tidak dijemput hadir ke mesyuarat tahunan tersebut,” katanya.