Nurul Izzah terus perjuang nasib masyarakat India meskipun tiada jawatan

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terus komited mendekati pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti India meskipun beliau tidak memegang sebarang jawatan sebagai Ahli Parlimen mahupun dalam pentadbiran kerajaan.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pravin Murali berkata, individu berkenaan Izzah kekal aktif di lapangan dan terlibat secara langsung dalam merangka penyelesaian terhadap isu-isu sosioekonomi yang membelenggu masyarakat India.

“Ketika menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Permatang Pauh, beliau konsisten memperjuangkan isu berkaitan masyarakat India seperti akses pendidikan, peluang ekonomi, kebajikan keluarga B40 serta pembangunan komuniti secara menyeluruh.

“Komitmen beliau bukan bersifat bermusim, sebaliknya didasari oleh prinsip keadilan sosial dan nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, berada di belakang tabir tidak menghalang Nurul Izzah untuk membantu merangka dasar dan strategi pembangunan negara agar tiada komuniti yang tercicir, termasuk masyarakat India.

Katanya, cabaran yang dihadapi oleh masyarakat India pada hari ini berpunca daripada kelemahan kepimpinan sebelum ini yang gagal membawa agenda pembangunan secara inklusif dan menyeluruh.

“Justeru, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu menjadi platform untuk membetulkan keadaan ini dengan menekankan pelaksanaan dasar yang telus dan menyeluruh, khususnya dalam bidang pendidikan, peluang ekonomi dan kesihatan bagi komuniti India,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin pendekatan yang dibawa oleh Nurul Izzah yang berteraskan nilai, dasar dan libat urus secara berterusan merupakan cerminan kepada kepimpinan baharu yang diperlukan Malaysia.

“Politik hari ini tidak boleh hanya bergantung kepada retorik. Ia memerlukan keikhlasan, keputusan berdasarkan data serta keupayaan menyatukan semua pihak demi penyelesaian bersama dan pemerkasaan komuniti India,” katanya lagi.

Pravin turut menegaskan bahawa pendekatan sedemikian perlu dijadikan contoh oleh semua pemimpin politik sekiranya mahu melihat negara ini bergerak ke hadapan secara adil dan saksama.