IPOH - Kerajaan sepatutnya merujuk pandangan tiga bekas Perdana Menteri terdahulu sebelum melaksanakan sebarang dasar besar yang memberi kesan langsung kepada rakyat terutama cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengalaman luas negarawan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar dimanfaatkan kerajaan bagi meneliti pendekatan terbaik menjana pendapatan negara tanpa membebankan rakyat.
**media[3191136]**
"Tentunya ada pelbagai cara boleh kita lakukan untuk meningkatkan hasil negara bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat tanpa perlu membebankan mereka semula.
"Kalau kerajaan nak ambil pendekatan seperti SST, saya nak cadangkan supaya Perdana Menteri ke-10 ini berjumpa dengan tiga mantan Perdana Menteri yang hebat dan telah banyak berkhidmat.
"Tanyalah mereka, apakah jalan terbaik yang boleh diambil. Saya yakin mereka sedia berkongsi idea dan pandangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Tambun di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Sabtu.
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, semasa turun padang meninjau suasana pasar besar dan berbual bersama peniaga serta pembeli, beliau mendapati hampir 100 peratus menyuarakan kekecewaan terhadap SST.
Katanya, keadaan itu menunjukkan bahawa kenyataan sesetengah pemimpin kerajaan yang mendakwa pelaksanaan cukai itu akan membawa keuntungan kepada rakyat adalah sama sekali tidak berasas dan angkuh.
"Saya pernah berada dalam Kabinet dan mengetuai kerajaan negeri. Saya faham keperluan kerajaan mendapatkan dana untuk subsidi dan perkhidmatan awam, tetapi kerajaan tidak seharusnya mengambil jalan mudah.
"Memilih langkah singkat dengan mengenakan cukai tambahan, mengurangkan subsidi bahan api serta menaikkan tarif elektrik tanpa berusaha mencari penyelesaian alternatif yang lebih bijaksana. Ini yang menyebabkan rakyat hari ini sangat kecewa,” tegasnya.