PN mula gerak kempen awal PRU16 melalui Jelajah Teraju Pahang

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang sudah memulakan kempen awal menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menerusi siri Jelajah Teraju Pahang 2.0 yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri ini.

Ketua Sekretariat PN Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, program itu merupakan kesinambungan kepada pusingan pertama yang telah menjelajah 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dan berpotensi menang.

Menurutnya, objektif utama jelajah itu adalah untuk memberikan semangat kepada jentera parti selain meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan PN menerajui Pahang.

"Jelajah Teraju Pahang ini adalah untuk memberikan semangat kepada jentera kita. Selain itu, ia juga bertujuan menimbulkan keyakinan rakyat khususnya di kawasan yang kita jangka boleh menang, bahawa kita benar-benar serius untuk menerajui negeri Pahang."

"Kita mahu rakyat yakin bahawa kita ada kewibawaan untuk memerintah negeri ini, di samping menyatukan orang Melayu dan Islam di Pahang agar bangkit daripada kemelut lama kepada semangat baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Tahunan Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar di Indera Mahkota di sini pada Ahad.

Persidangan Bersatu itu dirasmikan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah yang mewakili Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Turut hadir, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar serta ketua bahagian dan perwakilan Bersatu.

Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah menjelaskan, siri jelajah itu akan diteruskan sehingga PRU16 bagi menunjukkan PN bukan hanya turun bekerja ketika pilihan raya.

Katanya, program tersebut akan dilaksanakan secara berterusan melalui beberapa siri jelajah pada masa akan datang.

"Kita hendak tunjuk kepada rakyat bahawa kita bukan hanya bekerja masa pilihan raya, tetapi sentiasa ambil tahu tentang permasalahan mereka."

"Sebab itu kita turun melalui kempen Teraju Pahang supaya dapat menyelami hasrat dan masalah rakyat dan kita berharap dengan ini rakyat beri peluang kepada kita," katanya.

Mengulas maklum balas rakyat, Andansura berkata, sambutan yang diterima sangat positif dan memberi keyakinan kepada PN untuk terus bergerak ke hadapan.

"Kita mahu rakyat yakin PN ada kebolehan dan mampu memerintah lebih baik daripada kerajaan sekarang."

"PN juga ada barisan kepimpinan berkelayakan, berpengalaman, dengan gabungan profesional dan bukan profesional yang lengkap untuk mentadbir Pahang," ujarnya.

Sementara itu, Rosli berkata, Pas sudah lama melaksanakan strategi perang saraf melalui media sosial sebagai persiapan PRU16.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada strategi untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada masyarakat.

"Kita lihat rakyat Pahang memahami maksud Teraju Pahang dan slogan yang kita bawa...semalam saya di Tioman, sama seperti Andansura di Indrapura, saya ziarah lebih 50 rumah dan mereka menyatakan sokongan.

"Insya-ALLAH gerak kerja ini akan diteruskan sehingga PRU16, termasuk mendekati semua kaum, Cina dan India pun kita sentuh.

"Jangan bimbang, orang Cina dan India boleh tengok di Kelantan, Terengganu, Kedah bagaimana PN memerintah dengan adil kepada semua," katanya.