SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli akan mengadakan sidang akhbar khas bersama beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Isnin.
Perkara itu dikongsikan bekas Timbalan Presiden PKR tersebut menerusi satu hantaran di aplikasi X pada Ahad.
Menerusi hantaran berkenaan, Rafizi memaklumkan sidang akhbar tersebut akan diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang di Bandar Puchong Jaya pada jam 9 pagi.
Sidang media tersebut turut akan disiarkan secara langsung di platform-platform media sosial bekas Menteri Ekonomi itu.
Bagaimanapun, tidak diketahui tujuan sidang media tersebut diadakan memandangkan Rafizi tidak memperincikan maklumat lain.
Dalam audio siar Yang Berhenti Menteri pada Jumaat, beliau memberi bayangan untuk meninggalkan PKR selepas tamat penggal Parlimen ini, sekali gus tidak bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pada 23 Mei lepas, Rafizi gagal mempertahankan jawatan nombor dua dalam parti tersebut kepada Nurul Izzah Anwar.
Dalam keputusan rasmi yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Nurul Izzah meraih sebanyak 9,803 undi manakala Rafizi memperoleh 3,866 undi.