MUAR - Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh pada Ahad sebulat suara mengusulkan agar kerajaan menghapuskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usul itu antara perkara utama yang dibangkitkan dalam persidangan selain isu pendidikan dan penjelasan mengenai perjanjian pembangunan wilayah Ambalat.
“Saya telah mendengar usul-usul yang dibahas dan memberikan pandangan. Semua diterima sebulat suara, termasuk cadangan supaya SST dihapuskan kerana ia membebankan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan berkenaan di Dewan Serbaguna Kampung Jayor.
Berkuat kuasa 1 Julai 2025, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Sementara itu, bagi Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) antara Malaysia dan Indonesia di Blok Ambalat, iaitu kawasan perairan yang masih dalam pertikaian sempadan maritim membabitkan kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pagoh turut mengingatkan bahawa usaha memperkukuh perpaduan Melayu menerusi konsep ‘payung besar’ tidak wajar ditakuti masyarakat bukan Melayu.
“Orang bukan Melayu jangan takut. Kalau orang Melayu bersatu, negara akan lebih maju seperti dahulu. Namun kerajaan sekarang dilihat tidak bersungguh-sungguh membela Melayu dan bumiputera. Ini perkara besar yang perlu diberikan perhatian,” ujarnya.
Pada Jun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan Sekretariat Orang Melayu sebagai usaha mengembalikan kuasa politik Melayu di bawah satu ‘payung besar’.