Isu pejabat khidmat tutup, Zaharudin cuba cetuskan persepsi negatif - Steven Sim

BUKIT MERTAJAM - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong sedia berdepan dengan tindakan undang-undang yang dikemukakan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad terhadapnya.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, beliau tidak menerima sebarang surat dan notis tuntutan daripada menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu walaupun sebelum ini tular video Zaharudin datang ke pejabatnya pada Khamis.

Steven Sim berkata, Zaharudin cuba mempolitikkan isu penutupan pusat khidmatnya pada Khamis dengan mencetuskan persepsi negatif.

Jelasnya, penutupan sementara pusat khidmatnya disebabkan beliau dan semua kakitangan pejabat memberi penghormatan terakhir sempena pengebumian datuknya.

"Dalam video yang dibuat pemimpin Pas itu mendakwa hadir ke pusat khidmat sebanyak dua kali iaitu pada pukul 3.30 petang dan 5.15 petang, namun mendapati pejabat tidak dibuka, seolah-olah mahu menggambarkan pusat tersebut tidak beroperasi.

"Padahal, notis penutupan sudah ditampal lebih awal memaklumkan bahawa pusat khidmat ditutup pada 3 Julai. Malah, kami turut memaparkan empat nombor telefon untuk dihubungi jika berlaku kecemasan.

"Saya tidak tahu sama ada beliau tidak faham bahasa Melayu atau memang sengaja mahu mencipta persepsi jahat,” katanya dalam video TikTok, pada Jumaat.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu turut melahirkan rasa kesal terhadap pemimpin Pas itu kerana pihaknya sedang bersedih dengan kehilangan insan tersayang namun beliau masih mahu bermain politik dengan mencipta persepsi jahat.

Difahamkan, Zaharudin ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam pada Khamis bagi menyerahkan surat tuntutan (LOD) dan menuntut permohonan maaf terhadap Steven Sim.

Tuntutan permohonan maaf itu dibuat kerana Steven Sim dikatakan menuduhnya menghina pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM).