Abdul Hadi kembali sampaikan kuliah, syukur sudah sihat

MARANG – [DIKEMAS KINI] "Syukur kerana telah sihat. Terima kasih atas solat hajat yang ALLAH SWT makbulkan doanya."

Demikian kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika memulakan kuliah duha mingguannya di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai tanda penghargaan atas doa dan sokongan rakyat selepas menjalani prosedur rawatan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN) bulan lalu.

Kuliah yang berlangsung selama satu jam 15 minit bermula jam 9 pagi itu menyentuh tiga aspek utama iaitu akidah, siasah dan tafsir al-Quran, menerusi pengajian beberapa kitab terpilih.

Antaranya beliau menghuraikan nama-nama ALLAH dalam Kitab Beriman kepada ALLAH serta kaitannya dengan kekuatan keimanan umat Islam.

Beliau turut mengupas mengenai strategi kepimpinan dalam Fiqh Siasah Khalifah Umar R.A, khususnya dalam Perang al-Qadisiyyah yang menekankan nilai keadilan dan hikmah dalam politik Islam.

Kuliah tersebut diakhiri dengan tafsiran Surah al-Ma’idah ayat 40, yang menyentuh mengenai kebesaran dan kekuasaan ALLAH terhadap makhluk-Nya serta pengampunan terhadap hamba yang bertaubat.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan menerima rawatan di IJN pada 17 Jun lalu dan memohon orang ramai mendoakan kesembuhannya.

Beliau sebelum ini turut menjalani pemantauan kesihatan berkala oleh pakar perubatan.

Kuliah mingguan di Masjid Rusila itu merupakan penampilan pertamanya selepas kembali sihat.