KOTA BELUD - Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung di Kota Kinabalu semalam, menumpukan kepada tiga perkara utama dalam persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam mesyuarat itu, kesemua parti komponen PH bersetuju untuk mempunyai garis masa dalam menyelesaikan urusan pembahagian kerusi masing-masing.
"Mesyuarat juga bersetuju bahawa kita akan fokus kepada pembentukan jentera pilihan raya yang kuat dan mantap. Ia mesti berlaku sekarang, kalau (tunggu sehingga) Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar memang tidak sempat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sekolah Kebangsaan Kampung Pangkalan Abai di sini pada Jumaat.
Saifuddin Nasution yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, perbincangan juga menumpukan kepada perincian manifesto PH dan beliau berpuas hati dengan kemajuan perundingan yang telah dicapai.
Beliau turut memberi jaminan akan sentiasa turun ke Sabah bagi memastikan semua keputusan dalam mesyuarat PH itu dilaksanakan.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad; Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO); Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR, Sabah Datuk Mustapha Sakmu; Pengerusi DAP, Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, dan Pengerusi Amanah Sabah, Datuk Lahirul Latigu.
DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekali gus memberi laluan untuk PRN Sabah ke-17. - Bernama