SHAH ALAM - Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid tidak mahu dibayangi bapa kerana setiap insan wajar dikenali dan dihormati atas nama serta usaha sendiri.
Menurut Nurulhidayah, pengiktirafan terhadap peranan, kerjaya serta pandangannya sebagai individu hilang apabila media terus-menerus menggugurkan namanya sendiri dan menggantikannya dengan label ‘anak Zahid’.
"Saya ingin memberikan pandangan yang mungkin tampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi besar maknanya bagi saya secara peribadi.
"Media sering memilih untuk menggunakan frasa anak Zahid dalam tajuk atau laporan berita yang melibatkan saya dan bukannya menyebut nama penuh saya sendiri, Nurulhidayah Ahmad Zahid," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Tambahnya, beliau tidak pernah lupa siapa ayahnya dan meluahkan rasa bangga menjadi anak kepada figura tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, beliau juga seorang individu yang berdikari yang mempunyai pendapat, prinsip dan identiti sendiri.
"Saya sedar siapa abah saya dan saya bangga menjadi anak kepada Ahmad Zahid bin Hamidi. Saya percaya media mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan secara tepat, adil dan menghormati identiti setiap orang, tidak kira siapapun ahli keluarganya.
"Saya tidak pernah minta dipandang tinggi dan dihormati tetapi gunalah nama saya (untuk penulisan), Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan penuh etika seperti mana media menyebut nama individu lain yang menyuarakan pandangan atau terlibat dalam kerja masyarakat, politik atau sosial," tegasnya.
Beliau yakin dengan menggunakan nama individu dalam penulisan yang beretika akan memupuk budaya integriti, profesionalisme dan ketepatan dalam pemberitaan.
"Saya tidak pernah menafikan siapa abah saya tetapi saya juga tidak akan membiarkan nama saya sendiri dipadamkan," ujarnya.