Pembangkang tuntut pembangunan Ambalat, dokumen Triti Sulawesi dibahas di Parlimen

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menuntut butir-butir mengenai pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi dibahaskan di Parlimen.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, ini kerana rakyat berhak mengetahui tentang kedudukan sebenar isu tersebut.

Malah menurutnya, kedaulatan dan kepentingan Malaysia ke atas segenap inci wilayah negara, khususnya di kawasan maritim strategik di Blok Ambalat yang kaya dengan simpanan minyak serta gas asli wajib dipertegas dan dipertahankan.

"Langkah membuat pembangunan bersama secara tergesa-gesa, ketika wilayah kedaulatan maritim negara dituntut negara luar boleh menjerumuskan kepentingan nasional dalam keadaan samar.

"Lebih menimbulkan persoalan, pengumuman pembangunan bersama di Ambalat dilihat berbeza dengan beberapa siri jawapan Perdana Menteri termasuk ketika isu mengenai Triti Sulawesi dan Ambalat dibangkitkan di Parlimen," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dilapor menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.

Pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka di Jakarta, 27 Jun lalu, Anwar berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.