SHAH ALAM - Kota Madani bukan sekadar projek fizikal tetapi sebahagian daripada rangka pembangunan bersepadu yang bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai pusat rujukan ekonomi digital, hijau dan mapan.
Naib Presiden Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ia bertujuan menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa dalam sektor baharu yang berkualiti.
“Kerajaan tidak membina mercu tanda semata-mata, tetapi menyediakan ekosistem ekonomi baharu yang memberi manfaat jangka panjang.
“Ia menyediakan ruang inovasi, peluang pekerjaan kepada generasi muda serta mengurangkan beban permintaan kuarters penjawat awam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa pembangunan Kota Madani sebagai projek elitis ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Mohammed Taufiq berkata, tuduhan pihak tertentu bahawa kerajaan mengabaikan pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat adalah tidak tepat.
Menurutnya, Belanjawan 2025 membuktikan keutamaan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat melalui peningkatan peruntukan pendidikan melibatkan jumlah lebih RM58 bilion, peningkatan berbanding tahun lalu.
“Peruntukan kesihatan turut meningkat lebih RM41 bilion dan bantuan tunai terus seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut dinaikkan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan bekerja secara seimbang membela rakyat marhaen, melaksanakan reformasi fiskal dan pada masa sama melabur untuk masa depan negara,” ujarnya.
Katanya, penglibatan anak syarikat Petronas dalam projek berkenaan adalah sebahagian daripada strategi komersial syarikat dan bukan paksaan politik.
Tambahnya, Putrajaya Holdings terlibat atas dasar keupayaan perniagaan dengan peluang mencipta pulangan mapan melalui pembangunan hartanah dan ekosistem yang berdaya saing.
“Kerajaan sentiasa menjaga kepentingan Petronas sebagai syarikat milik negara yang berintegriti dan tidak sesekali menjadikan jenama berkenaan sebagai 'ATM politik' seperti yang didakwa.
“Pembinaan Kota Madani tidak melibatkan wang rakyat tetapi ia ditanggung sepenuhnya oleh pemaju,” menurutnya.