Skandal rasuah: Pendakwaan dua ADUN Sabah di mahkamah bersifat peribadi

KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berpandangan bahawa tindakan pendakwaan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di mahkamah pada Isnin lalu adalah bersifat peribadi dan tidak wajar dijadikan alasan untuk mendesak kerajaan membuat keputusan tergesa-gesa.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa proses undang-undang terhadap kedua-dua ADUN terbabit harus dibiarkan berjalan secara telus dan adil tanpa sebarang campur tangan politik.

“Isu pendakwaan terhadap dua ADUN baru-baru ini adalah bersifat peribadi dan biarlah proses undang-undang berjalan, dan mahkamah yang menentukan benar atau salah.

“Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri akan meneliti kedudukan kedua-dua ADUN tersebut setelah semua maklumat dan laporan lengkap diterima, bukannya membuat keputusan terburu-buru mengikut desakan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tegas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah itu lagi, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menutup kesalahan atau melindungi mana-mana individu yang terlibat dengan salah laku.

“Tetapi pada masa sama, kita juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan kes ini sebagai alat untuk melemahkan kerajaan negeri yang sah, stabil dan sedang bekerja keras untuk rakyat.

“Malah, saya menyambut baik dan menyokong sepenuhnya pendirian Hajiji yang juga merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan sesekali mencampuri sebarang siasatan atau pendakwaan yang sedang dijalankan terhadap mana-mana ADUN.

“Prinsip ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan Sabah hari ini ditadbir berasaskan integriti, kebertanggungjawaban dan penghormatan terhadap undang-undang, bukan berdasarkan sentimen, tekanan politik atau kepentingan individu,” katanya.

Katanya lagi, setiap individu berhak mempertahankan diri dan perlu berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

“Kita wajib berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa. Kami tidak akan goyah dengan cubaan menggugat kestabilan yang telah dibina. Fokus kami tetap pada pembangunan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun menegaskan bahawa kenyataan terbuka Hajiji sebelum ini, bahawa tiada apa yang perlu disembunyikan, adalah bukti jelas bahawa beliau tidak gentar untuk disiasat.

“Kami yakin dengan pengerusi kami. Beliau sendiri telah berkata dengan tegas, ‘siasatlah’. Kalau beliau orang yang bersalah atau takut, beliau tidak akan berani berkata begitu.

“Pemimpin yang berani juga menunjukkan keyakinannya terhadap proses undang-undang serta ketelusan dalam pentadbiran,” katanya.

**media[3186221]**

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Mazlan Joehari Manan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada petang Selasa bagi membuat laporan polis terhadap kenyataan berunsur fitnah dan hasutan yang dilemparkan oleh seorang ahli perniagaan yang didakwa dalam skandal rasuah.

Laporan itu dibuat berhubung kenyataan ahli perniagaan tersebut yang disifatkan mengandungi unsur jahat, palsu dan penghinaan terhadap Ketua Menteri Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Peguam Negara.

Mazlan berkata, memandangkan kes melibatkan ahli perniagaan itu dan dua ADUN berkenaan telah pun berada dalam proses perbicaraan di mahkamah, adalah tidak wajar untuk mengeluarkan kenyataan media yang memberi persepsi negatif, memburukkan pihak tertentu dan menghina mahkamah.

“Tindakan itu bukan sahaja boleh dianggap sebagai cubaan mempengaruhi prosiding, malah berunsur subjudis. Justeru, laporan dibuat agar pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap Albert mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.