PAPAR – Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa mereka tidak mengharapkan simpati atau layanan istimewa daripada mana-mana pihak, sebaliknya menyeru semua pihak agar tidak bersikap selektif dalam menilai realiti politik semasa di negeri ini.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sejak awal isu skandal rasuah dibangkitkan, GRS kekal berpendirian untuk menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada proses undang-undang.
“Inilah sikap dan pendirian kami sebagaimana yang diperjelaskan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya tidak berhajat untuk meminta mana-mana pihak berlaku adil kepada GRS, tetapi jangan pula kita memilih untuk memejam sebelah mata dan tidak melihat realiti di depan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Rumah Mesra SMJ di bawah Parlimen Papar di Kampung Kalanahan Rimba, di sini pada Selasa.
Sebelum itu, beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang berpandangan skandal rasuah melibatkan ADUN mungkin akan mengubah sedikit sebanyak percaturan politik di negeri ini.
Tambah Ahli Parlimen Papar itu lagi, isu dan tuduhan berkaitan rasuah bukan hanya membabitkan satu pihak, sebaliknya turut melibatkan pemimpin pelbagai parti, baik daripada pembangkang mahupun dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Ada yang sudah dibicarakan dan didapati tidak bersalah, ada yang telah dijatuhi hukuman, ada juga yang diberikan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan), serta ada yang masih melalui proses perbicaraan selama bertahun-tahun dengan pelbagai penangguhan.
“Dari segi aliran wang (money trail) pula, ada yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi, akaun isteri, syarikat proksi, malah dalam bentuk manfaat seperti pemilikan aset tertentu,” katanya.
Beliau berkata, walaupun berdepan tekanan dan tuduhan, GRS tetap memilih untuk tidak membuat sebarang komen terbuka terhadap kes-kes melibatkan pemimpin parti lain.
“Walaupun kadang-kadang kita seolah-olah ditolak ke dinding, kita tidak melatah untuk membuat perbandingan. Sebaliknya kita memilih untuk menyerahkan kepada proses undang-undang kerana kita percaya dan menghormati sistem keadilan negara.
“Prinsip kami jelas, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” tegasnya.
Mengenai perkembangan terbaharu berkaitan isu dakwaan rasuah membabitkan perlombongan mineral, beliau berkata individu yang sebelum ini mendakwa secara terbuka telah memberi imbuhan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), akhirnya tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di mahkamah.
“Ini satu perkara yang menarik dan mengejutkan. Apabila di mahkamah, beliau tidak mengaku bersalah, ini bermakna secara rasmi beliau menafikan ada memberi rasuah.
“Sebab itu saya menyeru semua pihak agar tidak membuat kesimpulan awal bersandarkan persepsi, sentimen mahupun laporan media sebelah pihak.
“Jangan kita cepat menuduh seseorang itu penjenayah rasuah sebelum keseluruhan proses siasatan dan perbicaraan selesai,” katanya.
Tegasnya, persepsi tidak semestinya mencerminkan realiti, justeru semua pihak harus berpegang kepada prinsip dan sistem perundangan yang sedia ada.