'Nasihat saya kepada Puad, lebih baik fikir amalan, dosa sendiri ' - Rafizi

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menasihatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya tidak bimbang tentang pengakhiran politiknya selepas peletakan jawatan Menteri Ekonomi ekoran kekalahan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu juga mengingatkan Speaker DUN Johor agar lebih baik merenung amalan, dosa dan pahala sendiri.

"Nasihat saya kepada Puad, jangan bimbangkan pengakhiran politik saya.

"Lebih baik fikirkan amalan dan dosa pahala masing-masing, lebih-lebih lagi kalau umur itu 20 tahun lebih tua dari saya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Puad memberi peringatan kepada Rafizi agar tidak berlebihan mengkritik kerajaan kerana bimbang bakal berakhir dalam penjara susulan kenyataannya berhubung rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), yang didakwa sebagai reaksi tergesa-gesa kerajaan selepas kritikan dalam media sosial terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Puad juga memberitahu Rafizi bahawa kes boleh dicari dan pada akhirnya menjerat dirinya sekiranya tidak berwaspada.

Menurut Rafizi, beliau selama ini mengelak membalas sindiran berulang Puad kerana menghormati kedudukan masing-masing ketika berada dalam Kerajaan Perpaduan.

"Bertahun-tahun dia cuit saya tapi saya tidak pernah balas. Sebahagiannya kerana saya menghormati tata cara bila duduk bersama dalam kerajaan, sebagai pimpinan kanan Keadilan, saya tidak wajar menghentam secara terbuka seorang wakil rakyat dari UMNO.

"Sepatutnya, orang berbudi kita berbahasa. Tapi tidak begitulah, sebab manusia ni ada macam-macam jenis. Saya juga faham kalau Puad ini marah dekat saya sampai bila-bila. Dia dulu Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), sekarang dikenali Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang diberi tanggungjawab mempertahankan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

"Memang letihlah nak bersilat dengan isu-isu yang saya bawa ke arah PRU 2018. Mungkin kerana dilihat tidak berapa berfungsi semasa menjadi Ketua Pengarah Jasa, dia digugurkan dari menjadi calon UMNO Parlimen Batu Pahat dalam PRU 2018. Kecoh sebentar dia nak bertanding bebas, dilaporkan sudah beli dua borang pun," katanya.

Rafizi turut menyentuh kemenangan Puad di DUN Rengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 sebagai satu-satunya pencapaian selepas berdekad dalam politik.

Selain itu, beliau juga mengingatkan dirinya pernah melalui episod penjara ketika pentadbiran terdahulu yang turut melibatkan Puad.

"Nasib baik, Keadilan/Pakatan Harapan (PH) masuk PRN Johor 2022 dalam keadaan sendu. Menanglah kerusi Rengit. Berpuluh tahun penyertaan Puad dalam politik dan UMNO sejak 1990-an, menang sekali di Parlimen dan menang sekali di DUN.

"Jadi bila Puad bagi nasihat, konon takut saya masuk penjara, saya buat dengar tak dengarlah. Saya anggap ini nasihat mencuri perhatian, supaya media memetik namanya menjadi berita. Kalau nak harap usaha politiknya yang lain, mungkin susah nak masuk berita.

"Kalau saya takutkan ada kes, saya tidak meletakkan jawatan. Saya akur kepada apa saja yang dikehendaki. Suruh saya diam, saya diam. Suruh saya melompat, saya melompat," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi turut menegaskan sepanjang menjadi menteri, beliau tidak pernah memanggil Ketua Setiausaha (KSU) atau pegawai untuk apa-apa yang bersabit perolehan.

Rafizi juga mengimbau peranan Puad sebagai Ketua Pengarah Jasa ketika beliau diheret ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara suatu ketika lalu.

"Bidang yang memang kuasa saya contohnya meluluskan perolehan hartanah Bumiputra melebihi nilai RM20 juta, itu pun saya buat satu jawatankuasa agar ia diputuskan oleh jawatankuasa tersebut, bukannya saya sendiri," ujarnya.

"Insya-ALLAH, saya tidak pernah diugut, dipanggil atau dilaporkan ada kes. Pasal ke penjara, saya pun pernah melalui zaman itu. Masa Puad jadi Ketua Pengarah Jasa, kerajaan itulah dan pimpinan parti dialah yang mengheret saya ke mahkamah sehingga 14 kes termasuk dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

"Masa itu pun saya reda semuanya dan saya serahkan kepada ketentuan ALLAH," katanya.