TINDAKAN UMNO memecat dan menggantung pemimpin serta ahli yang dikatakan tidak ‘sehaluan’ dengan perjuangan parti kira-kira dua tahun lalu sememangnya meninggalkan kesan mendalam.
Kesannya, sehingga kini 'luka politik' yang berlaku kepada parti terbesar orang Melayu itu masih lagi berbekas susulan gerakan pembersihan besar-besaran oleh UMNO sebelum ini yang menyaksikan beberapa pemimpin digantung dan dipecat antaranya bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Namun, kemelut berlanjutan sejak lebih dua tahun itu dilihat bakal menemui jalan penyelesaian apabila UMNO Bahagian Sembrong mengemukakan usul supaya parti menarik balik penggantungan Hishammuddin,
Selain itu, turut kedengaran khabar angin yang bertiup kencang mengatakan Khairy Jamaluddin bakal diberikan ‘pengampunan’ oleh parti tersebut.
Ia bermula dengan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun ditarik balik pada November lalu selepas empat kali mengemukakan rayuan kepada parti.
PERLU MOHON DULU
Bagaimanapun Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan, hasrat UMNO Bahagian Sembrong yang mengemukakan usul supaya parti menerima semula Hishammuddin perlu dihormati semua pihak.
Bagaimanapun katanya, adalah lebih baik untuk individu itu membuat permohonan sendiri bagi membuktikan keikhlasannya untuk kembali kepada parti.
“Setiap ahli dan pemimpin yang dikenakan tindakan disiplin sama ada dipecat atau digantung perlu melalui proses biasa iaitu dengan memohon dan kemudian perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Kita serah kepada MKT untuk buat keputusan. Di pihak individu yang dikenakan tindakan pula memainkan peranan mereka iaitu dengan kemuka rayuan,” katanya.
Ujarnya, proses ditetapkan parti itu juga tertakluk kepada semua ahli tanpa mengira jawatan yang disandang sebelum ini dan ia wajar dipatuhi semua.
Bagi UMNO mungkin 'luka politik' berlaku itu sembuh secara perlahan-lahan, namun bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) ia baru bermula.
Ia berlaku susulan kekalahan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli daripada barisan kepimpinan parti dalam pemilihan yang berakhir Mei lalu.
Sudah pasti ia akan memakan masa yang agak lama untuk PKR sembuh dari 'luka' jika tidak dirawat dengan segera.
Ini kerana Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka berlaku dalam tempoh kurang 30 bulan dari sekarang.
Sebarang tindakan yang diambil parti dalam menyelesaikan kemelut yang melanda itu juga perlu menggunakan pendekatan 'menang-menang' supaya tidak menambahkan lagi krisis lain.
PKR perlu berusaha keras untuk memperkukuhkan kembali parti selepas pemilihan yang menyaksikan berlaku perpecahan ketara khususnya membabitkan kem Rafizi dan Nurul Izzah Anwar yang kini merupakan Timbalan Presiden PKR.
Antara langkah awal yang diambil ialah menawarkan jawatan Timbalan Presiden kedua bagi Rafizi, namun ia telah ditolak.
Usaha Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memujuk saat akhir juga gagal.
Rafizi kini memulakan saluran Podcast beliau sendiri Yang Berhenti Menteri (YBM) dan mula mengkritik menteri-menteri Kabinet
KELEMAHAN INSTITUSI DALAMAN
Menurut penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi perpecahan dalaman dihadapi UMNO dan PKR memberi gambaran bahawa kedua-dua parti itu masih belum mencapai kestabilan sepenuhnya pasca PRU15.
Ujarnya, dalam konteks politik Malaysia hari ini, keutuhan sesebuah parti bukan lagi diukur berdasarkan bilangan ahli atau tokoh yang dimilikinya, tetapi sejauh mana parti itu mampu bertindak secara kolektif dan berstrategi dalam mendepani cabaran.
“Krisis seperti ini sering kali jadi petanda kelemahan institusi dalaman parti yang tidak mampu mengurus perbezaan pendapat dan perubahan dalam struktur kuasa dengan cara yang harmoni.
“Kedua-dua parti kini perlu memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh organisasi dan naratif perjuangan masing-masing.
“Tanpa struktur yang kukuh dan hala tuju yang jelas, usaha untuk meraih semula sokongan rakyat menjelang PRU16 akan menjadi semakin sukar,” katanya.
Hussain Yusri menambah, cabaran paling besar perlu dilalui sesebuah parti bukan hanya melibatkan perkara dalaman, tetapi turut dipengaruhi isu luar terutama melibatkan persepsi awam.
SELESAI SEGERA
Sementara itu, bekas pemimpin PKR Sarawak, Iswardy Morni berkata, ketiadaan Rafizi dalam barisan kepimpinan utama memberi cabaran besar untuk PKR menghadapi PRU16 nanti.
Katanya, pemimpin dan ahli parti harus mengakui Ahli Parlimen Pandan itu mempunyai kemampuan untuk memimpin gerakan membina gelombang dalam memenangi hati pengundi.
“Kita sendiri lihat bagaimana saudara Rafizi bekerja keras untuk parti sebelum ini.
“Benar, kemenangan bukan sumbangan individu tetapi kita kena faham, dalam apa sahaja peperangan termasuk pilihan raya ia dipandu oleh seorang panglima.
“Sebagai ahli PKR, saya mahu lihat permasalahan dalaman ini diselesaikan dan gerakan menuju PRU16 juga dilakukan walaupun sehingga kini saya tidak nampak lagi usaha dilakukan,” katanya.
Tambah Iswardy, PKR bakal berdepan ujian lebih besar termasuk kemungkinan tidak lagi menjadi kerajaan sekiranya cabaran dan permasalahan dalaman parti tidak ditangani segera.
Katanya, kepimpinan parti juga perlu membuang sikap penafian, sebaliknya mendengar denyut nadi akar umbi yang mahukan perubahan yang lebih baik.