KOTA BHARU – Pas Kelantan dijangka mengadakan perbincangan bagi menamakan barisan calon Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat mewakili negeri itu sekitar Ogos ini.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, perbincangan tersebut akan melibatkan AJK yang menang dalam pemilihan Pas kawasan seluruh negeri itu termasuk jawatan utama seperti Yang Dipertua, Timbalan, Naib serta Ketua Urusan Ulama, Pemuda dan Muslimat.
“Proses pemilihan di peringkat 14 kawasan selesai Sabtu lalu.
“Buat masa ini, mesyuarat bersetuju memberi mandat kepada AJK kawasan yang terpilih untuk menyelaras perbincangan dan mencadangkan calon-calon yang akan dihantar ke pusat nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) 2025 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, pada Isnin.
Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Kelantan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor itu, antara jawatan yang akan dicalonkan termasuk Presiden, Timbalan, Naib serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bagi penggal baharu.
Sebelum ini, pemilihan Pas kawasan Kelantan selesai melalui mesyuarat agung tahunan masing-masing dengan sebahagian besar jawatan utama kekal tanpa pertandingan.
Sementara Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke-70 dijangka berlangsung pada September ini, yang turut menyaksikan pemilihan semula barisan kepimpinan tertinggi parti.
Kali terakhir pemilihan jawatankuasa Pas Pusat diadakan ialah pada tahun 2023, yang menyaksikan beberapa penyandang utama dikekalkan tanpa pertandingan.