SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pembangkang mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih gagal memuktamadkan keputusan berhubung pelanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sepatutnya berbuat demikian lebih awal sebelum tarikh persaraan wajib mereka, selaras kelaziman amalan kehakiman sedia ada.
"Kebiasaan dalam sistem kehakiman menunjukkan pelanjutan perkhidmatan bagi hakim-hakim tertinggi yang menghampiri umur persaraan wajar dipertimbang dan dimuktamadkan segera selaras peruntukan nyata dalam Perlembagaan bagi memastikan kelangsungan, kestabilan dan keyakinan terhadap institusi kehakiman.
"Selain menjadi amalan yang diterima pakai sekian lama, tidak keterlaluan jika dikatakan menjadi hak bagi Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan diberi pertimbangan munasabah pelanjutan perjawatan mereka demi kebaikan perkhidmatan, sama seperti yang pernah dilakukan terhadap hampir semua hakim tertinggi sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu Takiyuddin turut mempersoalkan ketelusan dan niat sebenar kerajaan selain bimbang wujud potensi gangguan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Malah ujarnya, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak berkuasa yang masih tidak membuat sebarang pengumuman atau penjelasan berhubung perkara berkenaan amat mendukacitakan.
"Lebih membimbangkan sekiranya keputusan tersebut ada kaitan dengan kemelut yang dikatakan wujud dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berhubung calon-calon bagi jawatan-jawatan tertinggi badan kehakiman.
"Jika benar, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa antara cabang eksekutif dan kehakiman," tegasnya.
Justeru Ahli Parlimen Kota Bharu itu menggesa Perdana Menteri tampil memberi penjelasan terbuka berhubung perkara tersebut secara adil dan telus dengan berpandukan Perlembagaan serta amalan kehakiman yang mapan.
Beliau menegaskan, badan kehakiman tidak boleh dijadikan medan permainan politik atau kepentingan sempit mana-mana pihak selain maruah dan kebebasan institusi itu perlu dipertahankan tanpa kompromi.
Sebagai rekod, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dijangka bersara pada 30 Jun apabila mencapai umur persaraan wajib iaitu 66 tahun.
Selain Tengku Maimun, turut belum menerima lanjutan ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan.
Abang Iskandar dijangka bersara pada 1 Julai manakala Nallini akan bersara pada 21 Ogos depan selepas masing-masing mencapai umur persaraan wajib.
Mengikut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, hakim Mahkamah Persekutuan boleh diberi lanjutan perkhidmatan selama enam bulan selepas mencecah umur 66 tahun, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.