Gempur Sabah: Amanah tubuh cawangan baharu di DUN Tanjung Aru

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) memperkukuh kedudukannya di Sabah apabila beberapa cawangan baharu berjaya ditubuhkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru menerusi program 'Gempur Sabah'.

Pengarah Pilihan Rayanya, Mohd Sany Hamzan berkata, program selama tiga hari itu disifatkan sebagai langkah penting bagi memperkemas struktur organisasi parti di peringkat akar umbi sekali gus memberi isyarat jelas kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

"Biro Pilihan Raya Amanah akan terus menyokong penuh usaha Amanah Sabah bagi membantu dari segi latihan, strategi dan gerakan jentera supaya persiapan PRN benar-benar rapi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, program pimpinan Amanah Sabah diketuai Datuk Lahirul Latigu itu turut mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan antaranya ziarah ke rumah orang kurang upaya (OKU), lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai bomba dan penyerahan Bakul Rahmah kepada keluarga memerlukan serta pelajar cemerlang.

"Kami juga sempat bersama anak-anak muda melalui klinik bola dan menyerahkan peralatan sukan sebagai tanda sokongan," ujar beliau.

Beliau menjelaskan, aktiviti itu juga menjadi ruang kepada Amanah untuk mendekati masyarakat secara keseluruhannya.

"Banyak yang kami dengar dari kisah cabaran hidup harian, sehinggalah harapan yang mereka letakkan pada masa depan.

"Kami tidak datang hanya untuk memberi, tetapi juga untuk belajar dan membina hubungan lebih kuat dengan komuniti," tambahnya.