AMK gesa kerajaan tetap garis masa pelaksanaan Akta Pendanaan Politik

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa kerajaan menetapkan satu garis masa yang munasabah dan jelas bagi pelaksanaan Akta Pendanaan Politik sebagai tanda komitmen berterusan terhadap agenda reformasi institusi negara.

Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam AMK, Khairul Naim Rafidi berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan pelbagai pihak termasuk mahasiswa, masyarakat sivil dan pertubuhan seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berhubung keperluan mendesak akta itu dilaksanakan.

Beliau menegaskan bahawa tuntutan terhadap ketelusan dalam politik bukanlah perkara baharu, malah telah menjadi sebahagian daripada semangat reformasi sejak era awal perjuangan parti tersebut.

“Pelaksanaan Akta Pendanaan Politik adalah satu langkah penting dalam membina semula keyakinan rakyat, bukan sahaja terhadap kerajaan malah terhadap sistem demokrasi secara keseluruhan.

“Ketelusan dalam sumber dana politik dan perbelanjaan pilihan raya bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas untuk memelihara integriti politik negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, AMK mengiktiraf bahawa kerajaan hari ini memikul amanah besar dalam mengemudi agenda pemulihan institusi dalam suasana politik, sosial dan ekonomi yang mencabar, dan langkah pembaharuan perlu dilakukan secara berhemah serta menyeluruh.

“AMK percaya bahawa komitmen Kerajaan Madani terhadap reformasi institusi masih utuh.

"Dalam soal Akta Pendanaan Politik ini, kami yakin kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi memastikan rang undang-undang yang bakal dibentangkan kelak benar-benar menyeluruh, adil dan berdaya kuasa bukan sekadar simbolik atau separuh masak,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa penetapan garis masa pelaksanaan adalah penting untuk memperkukuh keyakinan rakyat bahawa reformasi yang dijanjikan sedang bergerak ke hadapan.

“AMK akan terus memainkan peranan sebagai suara anak muda dalam kerajaan dengan penuh kesetiaan, tanggungjawab dan kesedaran terhadap harapan rakyat yang sentiasa menjadi nadi perjuangan kita bersama,” tambahnya.