BENTONG - UMNO kekal dengan prinsip keterbukaan untuk menerima semula individu yang pernah digantung atau dipecat daripada parti tersebut.
Walau bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan proses itu mesti melalui saluran dan prosedur yang betul seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti
Menurutnya, sehingga kini hanya dua surat rayuan rasmi telah diterima parti iaitu bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
“Selain dua surat itu, kita tidak menerima sebarang rayuan lain. UMNO sentiasa menjunjung tinggi sikap berbaik sangka dan semangat keterbukaan, seperti digariskan sejak zaman kepimpinan Allahyarham Datuk Onn Jaafar.
"Sekiranya ada yang pernah melakukan kesilapan, terpulang kepada MT (Majlis Tertinggi). Kita harus mengelak daripada menilai berdasarkan fitnah atau sentimen politik sempit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Ahad.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh.
Ujarnya, UMNO menghormati usul yang dibawa oleh bahagian lain seperti UMNO Bahagian Sembrong baru-baru ini mengemukakan usul supaya bekas ketua bahagiannya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diterima semula dalam kepemimpinan parti itu.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa kuasa mutlak dalam hal-hal berkaitan pemecatan, penggantungan dan pemberian amaran keahlian adalah terletak sepenuhnya kepada Majlis Tertinggi parti, lebih-lebih lagi apabila Perhimpunan Agung tidak diadakan.
“Bagi individu yang mahu kembali, mereka perlu menulis surat rasmi memohon agar tindakan disiplin terhadap mereka ditangguhkan atau dibatalkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, UMNO mengambil pendekatan untuk 'membuka buku baharu' dengan mana-mana individu,
"Permohonan maaf secara terbuka. Ya kalau fitnah atau pembelaan itu dibuat secara terbuka kenapa takut untuk memohon maaf secara terbuka juga," ujarnya tanpa menamakan mana-mana individu.
Mengulas isu kerusi Sabah dan persiapan untuk Pilihan Raya Umum(PRU), Zahid memaklumkan bahawa perbincangan awal telah dijalankan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi menyelaraskan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya akan datang.
Jelasnya, perbincangan lanjut akan menyusul melalui mesyuarat khusus melibatkan BN, PH (Pakatan Harapan) dan parti-parti lain di negeri itu bagi memastikan tiada pertandingan banyak penjuru seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Kita tak mahu lagi situasi di mana sampai lapan penjuru bertanding di satu kawasan. Ia hanya akan memecah undi dan menyukarkan peluang kita untuk menang.
“Kita perlu pastikan kerusi ditandingi secara strategik supaya semua pihak dalam kerajaan perpaduan dapat bergerak dengan kekuatan penuh,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kekuatan jentera sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan UMNO dalam pilihan raya.
Ujarnya, ia juga merangkumi keperluan untuk menguasai naratif dan sentimen rakyat.
“Kita perlu jawab sebarang isu dalam tempoh tiga jam. Kalau selepas tiga jam, ia akan menyusup ke minda,” tambahnya.