ALOR SETAR - Persada politik tanah air terus menyaksikan episod dinamik yang sukar dijangka apabila UMNO kini berdepan desakan UMNO Sembrong untuk menamatkan penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, desakan tersebut lebih daripada isu peribadi kerana ia menjadi petanda UMNO sedang berdepan pertembungan dua arus utama antara pembaharuan dan terikat kepada keistimewaan lama.
Menurutnya, sekiranya Majlis Tertinggi UMNO tunduk kepada desakan akar umbi dengan menerima kembali Hishammuddin, ia boleh dianggap sebagai kemenangan kem profesional dan pragmatik dalam parti yang semakin terasing sejak kejatuhan Barisan Nasional (BN).
**media[3183263]**
“Langkah itu juga boleh dianggap sebagai pengiktirafan semula kuasa politik dinasti dan lama dalam UMNO, sekali gus membayangkan parti itu enggan melakukan perubahan sebenar.
“Penerimaan semula Hishammuddin mungkin beri sedikit ruang kepada citra sederhana UMNO tetapi jika diteliti secara kritis, ia boleh menjadi ‘make over’ kosmetik untuk menutup agenda sebenar, iaitu kesinambungan elit dan kronisme,” ujarnya.
Ahmad Zaharuddin berkata, situasi dalam UMNO semakin menarik dengan satu lagi teka-teki mengenai Khairy Jamaluddin Abu Bakar, figura yang sukar ‘dijinakkan’.
“Adakah Khairy akan kembali menyemarakkan UMNO yang sedang hilang arah?
“Pengaruh beliau dalam naratif politik UMNO ibarat ‘hantu’ yang belum bermukim tetapi cukup menggetarkan. Ini menunjukkan politik Malaysia ketandusan figura segar yang berprinsip dan berwawasan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, bekas Ketua Pemuda UMNO itu terus menjadi tumpuan apabila wujud desakan akar umbi agar beliau kembali ke pangkuan parti selepas pemecatannya.
Ahmad Zaharuddin percaya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini berdepan persoalan sama ada berani membuka pintu kepada Khairy atau terus tunduk kepada tekanan ‘old guards’ yang bimbang akan bayangan reformasi dalaman.
“Khairy sendiri telah beri isyarat dan acapkali ‘meletup’ di media atas kapasiti penganalisis atau pengkritik UMNO dari luar di stesen radio, kadang kala sibuk membina ‘jenama peribadi’.
“Jika diterima kembali, beliau mampu menjadi jalur baharu dalam memperluas pengaruh UMNO dalam kalangan pengundi muda dan profesional, malah berpotensi mencetuskan pertembungan dua kem dalam parti,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran UMNO boleh kehilangan sokongan pengundi bandar sekiranya terus menutup pintu kepada Khairy yang memiliki pengaruh dan pengalaman pentadbiran untuk mencetuskan gelombang baharu, sama ada melalui pentas baharu politik atau sekadar ‘perancang di belakang pentas’.
“Risiko paling jelas ialah ‘dua harimau di atas satu gunung’, pertembungan terbuka antara kem Presiden sekarang dan pasukan reformasi yang pasti mengasak tuntutan meritokrasi dan perubahan akar umbi.
“Kemasukan Khairy juga boleh mengganggu status quo, serta percepatkan persaingan dalaman ketika UMNO sedang tenat mencari identiti baharu. Tidak mustahil, penerimaan kembali beliau menjadi titik pemecahan,” ujarnya.
Ahmad Zaharuddin berkata, pada ketika ini, Ahmad Zahid lebih mengamalkan pendekatan ‘damage control’ berbanding pelan jangka panjang untuk parti.
“Penerimaan kembali Hishammuddin jika berlaku akan ditampilkan sebagai usaha muafakat, tetapi isu Khairy akan terus ditangguh dan dianggap sensitif, sedangkan ini menambah persepsi kepimpinan parti takut pada cabaran dalaman,” katanya.
Tegas beliau, UMNO kini perlu menjawab persoalan asas sama ada mereka benar-benar memperjuangkan kelangsungan parti atau hanya kepentingan beberapa individu semata-mata.
“Jika perkara ini tidak ditangani, UMNO akan terus berputar pada takuk lama, sedangkan rakyat sedang menanti naratif baharu daripada parti itu,” katanya.