KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menafikan dakwaan yang diterbitkan sebuah portal berita yang menuduhnya menerima RM1.78 juta berkaitan skandal perlombongan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri itu menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali menerima sebarang dana yang berkaitan dengan permohonan perlombongan atau skandal yang didakwa tersebut.
"Tuduhan ini sama sekali tidak berasas dan disifatkan sebagai serangan bermotifkan politik yang direka untuk menggugat kestabilan, memburukkan dan menghancurkan kerajaan Sabah yang sedia ada.
"Tuduhan ini juga adalah rekaan yang disengajakan, diatur oleh 'politikus' terdesak yang berusaha untuk memberikan pengaruh tidak wajar ke atas politik Sabah, iaitu satu taktik bersejarah yang telah digunakan sejak tahun 1960-an," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan turut berkata, bahawa beliau bersama ahli partinya yang lain telahpun memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan dengan memberikan kenyataan terperinci.
Beliau berkata, STAR dalam pada itu turut menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti perlombongan dan menjelaskan bahawa tidak pernah ada permohonan sebarang lesen berhubung kegiatan tersebut.
"Sebagai penyokong Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA), kita menegaskan bahawa perlombongan sememangnya tidak serasi dengan prinsip pemuliharaannya," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengutuk cubaan media tersebut membicarakan kes itu melalui pendapat umum dan bukannya mengikut saluran undang-undang yang betul.
"Inilah harga yang perlu dibayar untuk memperjuangkan hak-hak Sabah.
"Memandangkan betapa seriusnya tuduhan palsu dan berniat jahat ini, saya berhak untuk meneruskan semua saluran undang-undang yang ada, termasuk tindakan undang-undang terhadap portal media tersebut kerana laporannya yang tidak bertanggungjawab dan merosakkan.
"Kami menjangkakan lebih banyak dakwaan palsu dan fitnah akan keluar dari mulut portal berita tersebut dan manipulasi politik lain.
"Dijangka juga akan banyak fitnah dan tuduhan akan keluar menjelang pilihan raya, tidak hairan kumpulan-kumpulan dan parti-parti tertentu akan berpesta dengan harapan berita palsu ini akan mengubah percaturan dan landskap politk di Sabah," katanya.