Semakan semula pendakwaan Muhyiddin wajar dipertimbang – Bersatu Hulu Langat

SHAH ALAM – Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dinilai semula bagi mengelakkan pembaziran masa mahkamah dan sumber awam berikutan dakwaan disifatkan tidak berasaskan bukti kukuh serta berunsur motif politik.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, khususnya bagi kes yang melibatkan pendanaan politik, terdapat kekosongan dari segi peruntukan undang-undang bagi mengawal selia isu tersebut di peringkat nasional.

Menurutnya, keadaan ini membuka ruang kepada pentafsiran yang bersifat selektif dan dilihat lebih menjurus kepada pencemaran reputasi serta pemusnahan imej individu tertentu.

“Pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat mempunyai persamaan dengan dua kes berprofil tinggi melibatkan YB Syed Saddiq dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Namun perbezaannya ialah tiada sebarang transaksi walau satu sen yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi mahupun akaun syarikat milik Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah, berdasarkan preseden kes yang dirujuk, keputusan terhadap pendakwaan bekas Perdana Menteri itu sudah dapat dijangka, iaitu kemungkinan penghakiman akan selari selaras dengan fakta dan asas pertuduhan yang serupa.

Justeru, beliau mencadangkan agar pihak pendakwaan mempertimbangkan semakan semula terhadap kes berkenaan.

“Sekiranya terdapat asas kukuh untuk menggugurkan pertuduhan, tindakan itu wajar dilaksanakan bagi mengelakkan pembaziran masa mahkamah dan sumber awam semata-mata akibat tekanan atau sentimen politik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan terhadap pandangan Prof Dr Marzuki Mohamad bahawa garis panduan di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) boleh dijadikan rujukan pihak pendakwaan dalam menilai kesalahan atau unsur rasuah yang timbul melalui pembiayaan politik.

“Pendakwaan tidak seharusnya dibuat secara membuta tuli,” katanya.