ISKANDAR PUTERI - Pas menegaskan hubungannya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal harmoni dan tidak pernah retak seperti yang digambarkan sesetengah pihak.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun terdapat pelbagai tafsiran dibuat oleh pihak luar berhubung kenyataan memperkukuh struktur PN baru-baru ini, ia sebenarnya adalah langkah untuk memantapkan lagi kerjasama antara parti.
“Secara jujurnya kita mempunyai satu bentuk hubungan yang jauh lebih harmoni dengan semua parti komponen berbanding parti-parti lain di luar sana.
"Mungkin baru-baru ini apabila ada kenyataan supaya PN diperkasakan atau distruktur semula, ia digunakan pihak tertentu untuk membuat tafsiran kononnya berlaku perselisihan. Hakikatnya ia tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pulai di sini, pada Ahad.
Hadir sama Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.
Sebelum ini, media melaporkan PN akan melaksanakan rombakan menyeluruh struktur organisasi gabungan itu termasuk menubuhkan Majlis Presiden dan meminda perlembagaan bagi memperkukuh tadbir urus serta kerjasama antara parti komponen.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penambahbaikan struktur organisasi itu dijangka dilaksanakan selepas jawatankuasa khas PN selesai membuat penilaian menyeluruh.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Timbalan Pengarah Pilihan raya Pas berkata, cadangan untuk memperkasakan PN sudah dibentangkan kepada pimpinan PN.
"Hasil daripada itu telah diputuskan untuk membentuk satu jawatankuasa yang diwakili oleh lima orang daripada setiap parti.
"Jawatankuasa ini akan memperincikan cadangan memperkasakan PN. Pada saya, itu satu perkembangan yang sihat dalam kita berhadapan perubahan politik yang pragmatik," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya akan diperkemaskan dengan memberi penekanan khas kepada Johor dan Melaka yang dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal.
Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan kepada semua Ketua Penerangan negeri untuk meningkatkan kesiapsiagaan termasuk dengan pelbagai program latihan di semua peringkat.
“Secara umumnya, semua Ketua Penerangan Pas kawasan sudah diberi arahan spesifik serta modul-modul persiapan yang perlu mereka laksanakan.
"Di Johor, Pas hanya satu kerusi iaitu DUN Maharani. Oleh itu, kita mahu mempertahankan kerusi dimenangi serta melihat potensi menambah lagi kerusi di kawasan lain," ujarnya.