UMNO bukan bergabung dengan PH, kerjasama demi kestabilan negara - Mohamad

TANGKAK - Kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan tidak bermaksud parti itu bergabung dengan PH, sebaliknya adalah langkah strategik untuk memastikan pentadbiran negara kekal stabil.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak perlu membentuk gabungan baharu kerana masih kekal dengan rakan tradisinya iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Kita jangan terlalu mudah terperangkap dengan individu yang bercakap mengenai ‘UMDAP’,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, di sini, pada Ahad.

Mohamad, yang juga Menteri Luar, menjelaskan keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat selepas tiada mana-mana gabungan politik memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“PH memperoleh 82 kerusi, PN (Perikatan Nasional) 73 kerusi. Kedua-duanya mahu menjadi Perdana Menteri. Dalam diam-diam mereka curi 10 orang (Ahli Parlimen) kita.

“Ketika itu, ringgit jatuh, pelabur hilang keyakinan. Apabila dicadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan, kita adakan mesyuarat. Daripada 56 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, 54 bersetuju dan dua berkecuali. Jadi, kita bersetuju untuk bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli UMNO agar belajar daripada kekalahan pada PRU14 yang menyebabkan parti itu kehilangan banyak kerusi serta kedudukan kukuh sebagai kerajaan.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kita menang dua pertiga, Melaka pun sama. Tetapi bila PRU, keputusan tidak seperti dijangkakan. Oleh itu, kita kena ambil pengajaran daripada situ,” katanya.