TANGKAK – Nasib bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung keahlian parti selama enam tahun hanya boleh ditentukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jika Ahli Parlimen Sembrong itu mahu penggantungannya ditarik balik, beliau perlu terlebih dahulu menulis surat rayuan kepada parti.
“Tulis surat...(beliau) pergi kita tak halau, balik tak dijemput, nak balik, baliklah. Terpulang kepada MKT yang punya kuasa untuk memendekkan hukuman. Kalau MKT kata ok, oklah.
“Macam (penggantungan keahlian) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dia datang minta tolong dengan saya, saya kata tulis surat (kepada parti untuk rayuan).
“Dia tulis surat dan lulus (penggantungan ditarik balik), apa masalahnya, jangan bodoh sombong nak buat apa, UMNO tak terhegeh-hegeh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini, pada Ahad.
Untuk rekod, keahlian Hishammuddin digantung bermula 27 Januari 2023 selama enam tahun selepas keputusan MKT UMNO yang dimaklumkan melalui surat ditandatangani Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Setiausaha Agung ketika itu.
Bagaimanapun pada 11 Disember lalu, media melaporkan Hishammuddin mengulangi pendirian untuk tidak merayu keputusan penggantungan keahliannya.