KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah kini giat melaksanakan aktiviti culaan iaitu proses mengenal pasti sokongan akar umbi di 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilihat sebagai kerusi tumpuan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah tersebut bertujuan menilai tahap sokongan pengundi dan kekuatan parti di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada persiapan awal menghadapi PRN.
“Sebagai gerak kerja awal, kita sedang menjalankan aktiviti culaan di lebih 13 DUN tumpuan bagi mengenal pasti kekuatan dan tahap sokongan pengundi di kawasan terbabit.
“Menerusi aktiviti ini, kita sekurang-kurangnya mendapat gambaran jelas mengenai potensi kita di kawasan tersebut, sekali gus menjadi asas untuk rundingan dengan mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai senarai 13 DUN yang disasarkan, beliau belum bersedia untuk mendedahkannya secara terperinci, namun memberi bayangan bahawa kawasan yang sedang dilakukan culaan merupakan antara yang berada dalam senarai sasaran.
“Senarai 13 DUN itu akan diumumkan kemudian, tetapi aktiviti culaan yang sedang dijalankan boleh dijadikan petunjuk awal,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan pertindihan kerusi, Mustapha mengakui perkara itu tidak dapat dielakkan, namun menyifatkannya sebagai sesuatu yang normal dalam mana-mana pilihan raya.
“Kita telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan Barisan Nasional (BN) dan sedang menjalankan rundingan bagi memastikan pembahagian kerusi dapat dibuat tanpa pertindihan. Pada masa sama, kita juga sedang membina persefahaman dasar demi kepentingan Sabah.
“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan kita menyambut baik perkara itu. Rundingan dengan GRS belum bermula, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk kita memulakannya agar dapat saling mengenali dan berbincang.
“Niat utama kita ialah untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan pergeseran antara parti-parti dalam kerajaan Madani, kerana keutamaan kami adalah kestabilan politik di negeri dan negara,” ujarnya.
Menyentuh soal pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PH sendiri, Mustapha mengakui masih wujud sedikit pertindihan, namun majoriti isu telah berjaya diselesaikan.
“Masih ada sedikit pertindihan, tetapi dalam PH kita sudah banyak kali berunding. Hanya kira-kira lima peratus sahaja yang belum dimuktamadkan, selebihnya sudah selesai secara dalaman,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, mengulas isu pendedahan membabitkan beberapa pemimpin tertinggi GRS yang didakwa terpalit isu rasuah.
“Kami juga agak terkejut. Kami sangka isu itu telah reda selepas penyebaran video sebelum ini dan kenyataan telah diambil daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemberi maklumat.
“Sekarang ini, kita sedang menganalisis kesannya. Saya fikir ini akan sedikit sebanyak mengubah lanskap percaturan politik di negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, PKR Sabah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan telah mengarahkan semua jentera di peringkat cabang supaya peka terhadap sebarang perkembangan terkini.