GEORGE TOWN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang mempersoalkan kos projek naik taraf landskap Penang Walk di hadapan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang dianggap sebagai berlebihan.
Projek yang dijalankan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu melibatkan perbelanjaan mencecah RM1.7 juta.
Pengerusinya, Andika Putera berkata, walaupun pihaknya menyambut baik usaha memperindahkan kawasan pusat bandar, namun jumlah kos tersebut yang hanya melibatkan kawasan seluas 1,400 meter persegi menimbulkan persoalan tentang kewajaran perbelanjaan itu.
“Purata kos bagi setiap meter persegi mencecah lebih RM1,200.
"Kos sebesar ini menimbulkan persoalan, apakah kerja-kerja melibatkan laluan pejalan kaki, jubin dan pencahayaan memerlukan perbelanjaan setinggi itu?” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, dalam keadaan ekonomi semasa yang masih mencabar dan ramai rakyat bergelut dengan kos sara hidup, setiap perbelanjaan perlu dibuat secara berhemah dan penuh tanggungjawab.
“Projek memperindahkan bandar memang penting, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk perbelanjaan melampau tanpa justifikasi yang jelas.
“Muda Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri menyemak semula semua projek PDC yang berisiko melibatkan kos tinggi serta memastikan semua projek dijalankan secara telus dan bertanggungjawab.
“Ketelusan dalam pentadbiran bukan pilihan tetapi adalah kewajiban,” tegasnya.
Projek naik taraf landskap Penang Walk di hadapan Komtar telah bermula pada 13 Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 Oktober ini.
Ia merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan Komtar yang dijalankan secara berperingkat oleh PDC.
Kerja-kerja yang dijalankan melibatkan laluan pejalan kaki dan jubin koridor di bahagian hadapan bangunan menghadap Jalan Ria, selain menaik taraf sistem pencahayaan dan menambah elemen landskap hijau.
Beberapa kios komersial turut dirancang untuk dibina selepas projek siap bagi menarik pengunjung termasuk pelancong dan tetamu hotel sekitar kawasan tersebut.
Menurut PDC, projek ini bertujuan memperindah wajah bandar, menambah ruang awam yang menarik serta menghidupkan semula Komtar sebagai nadi bandar dan destinasi tumpuan pelancong.