UMNO perlu reformasi struktur, roh perjuangan

SHAH ALAM - UMNO perlu melakukan reformasi dalaman dan membuat perubahan secara menyeluruh bukan sahaja struktur, tetapi roh perjuangannya selain memerangi kelompok oportunis jika ingin bangkit semula sebagai parti relevan.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, reformasi dalaman bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan mutlak demi kelangsungan parti Melayu itu.

Menurutnya, semua isu dalaman atau permasalahan boleh diselesaikan tetapi hanya jika wujud keikhlasan politik, keberanian moral dan transformasi budaya parti.

“Ahli akar umbi UMNO seharusnya belajar dari sejarah, meletakkan agenda bangsa dan negara di hadapan, bukannya individu atau puak yang dipengaruhi sentimen murahan seperti labelan UMDAP. Jika ini berjaya dihakis maka pembaharuan boleh berlaku.

“Seterusnya, penglibatan akar umbi mesti ditingkatkan dalam membuat keputusan dasar parti dan pemilihan calon. Parti yang demokratik di peringkat bawah akan lebih stabil di atas.

“Selain itu, UMNO juga perlu melaksanakan pembersihan parti. Ia termasuk menyingkirkan mereka yang menjadi liabiliti kepada parti, tanpa kompromi,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sebelum ini, UMNO tidak pernah hilang kuasa kerana kekuatan pihak lawan, sebaliknya rebah kerana perbalahan dalaman dan budaya ‘cah keting’ yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, konflik demi konflik yang tercetus dalam parti sendiri, termasuk perebutan jawatan, pengkhianatan dan penubuhan parti serpihan menyebabkan sokongan orang Melayu Islam berpecah hingga melemahkan kekuatan politik UMNO.

Tambah Awang Azman, tidak dinafikan budaya ‘cah keting’ bukan eksklusif kepada UMNO, tetapi fenomena yang turut berlaku dalam hampir semua parti politik, termasuk pembangkang dan parti baharu.

Jelasnya, ia merupakan simptom persaingan dalaman yang tidak terkawal akibat kelemahan dalam struktur kepimpinan, ketidaktelusan dalam pemilihan serta perebutan pengaruh individu atau kelompok.

Beliau memberi contoh, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalami krisis dalaman semasa pemilihan parti (merujuk isu perebutan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Rafizi Ramli, Rafizi dan Nurul Izzah Anwar) serta perpecahan hingga tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kemudian Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

“Bersatu juga berdepan konflik dalaman seperti penyingkiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembentukan Pejuang.

“Begitu juga Pas, walaupun kelihatan stabil, pernah melalui krisis dalaman yang menyebabkan tertubuhnya Amanah. DAP pula meskipun kelihatan utuh, turut mengalami cabaran perebutan kerusi dan dominasi antara kelompok old guards dan muka baharu.

“Maka budaya ‘cah keting’ adalah penyakit sistemik politik Malaysia yang lahir daripada politik personaliti melebihi politik dasar. Namun, tahap keberkesanannya menangani isu ini berbeza antara parti,” ulasnya lagi.