'Jangan rendah diri, UMNO juga perjuang Islam'

BACHOK – Ahli UMNO tidak perlu berasa rendah diri apabila berdepan dengan Pas kerana UMNO juga memperjuangkan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebelum ini Perlembagaan parti hanya menyatakan UMNO sebagai parti politik kebangsaan Melayu, namun pimpinan telah memperhalusi dan memperbaikinya.

“Dalam Perlembagaan UMNO yang telah kita pinda, tercatat dengan jelas bahawa ia adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bachok 2025.

Ahmad memberitahu bahawa UMNO telah melaksanakan banyak perkara yang selari dengan kehendak Islam, termasuk membasmi kemiskinan, meningkatkan pendidikan dan kesihatan.

“Saya harap perkara ini difahami dengan mendalam oleh pimpinan UMNO, terutama apabila berdepan dengan Pas di empat negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang kononnya lebih Islam daripada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata UMNO kini berjuang bersama 18 parti lain dalam Kerajaan Perpaduan dan bukan hanya bersama DAP seperti yang digambarkan oleh pembangkang.

“Istilah ‘UMDAP’ itu salah, sebab kita bersama Kerajaan Perpaduan. Itu hanya mainan mereka untuk memporak-perandakan pemikiran sesetengah pihak,” katanya lagi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16, dan selepas itu bergantung kepada jumlah kerusi dan kemenangan.