Pelantikan Leftenan Jeneral: AMK Selangor kecam kenyataan Zaharudin berbaur perkauman

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengecam kenyataan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, yang didakwa berbaur perkauman berkaitan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng yang dinaikkan pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, kenyataan Zaharudin itu bukan sekadar pandangan peribadi tetapi merupakan satu bentuk naratif yang berbahaya serta mengugat keharmonian masyarakat.

“Sindiran beliau (Zaharudin) terhadap Johnny Lim sebagai pegawai tertinggi ATM adalah satu penghinaan terhadap institusi pertahanan negara.

“Johnny Lim telah berkhidmat lebih 41 tahun dengan penuh dedikasi dan dipilih atas dasar kelayakan, bukan bangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis berkaitan kenyataan Zaharudin di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini pada Khamis.

Muhammad Izuan berkata, AMK Selangor menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap Zaharudin.

Pada Rabu, media melaporkan bahawa Pas memandang serius kontroversi melibatkan seorang pemimpin parti itu susulan satu hantaran di media sosial yang menggambarkan tingkah laku tidak sensitif dan menjejaskan keharmonian negara.

Dalam kenyataan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa pandangan yang dikongsi oleh individu berkenaan mengenai Johnny Lim yang dinaikkan pangkat adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili parti.

Tambah beliau, pelantikan Johnny Lim sebagai Leftenan Jeneral ATM merupakan pencapaian bersejarah yang wajar diraikan, bukan dipersoalkan atau diperlekehkan.

Sehubungan itu, Pas tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana ahli yang melanggar peraturan atau mencemarkan cita-cita perpaduan nasional.

Pada Selasa, Zaharudin dipercayai membuat catatan di Facebook yang mempertikaikan pelantikan Johnny Lim.

Johnny Lim melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama yang dinaikkan pangkat ke jawatan Leftenan Jeneral dalam ATM.